TAWAU, 20 Sept – Dua pembantu jurujual ikan maut selepas kenderaan pikap yang dinaiki dan membawa tong muatan ikan terbabas dan merempuh penghadang jalan di Batu 6 Jalan Apas di sini, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata dalam kejadian 11.30 malam itu, kedua-dua lelaki Mohd Firdaus Kadapi, 18, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Nor Asri Amirullah,19, meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Tawau.
“Manakala dua lagi lelaki termasuk pemandu kenderaan jenis pikap terbabit selamat dengan masing-masing yang berumur 34 dan 17 tahun itu cedera di bahagian tengkuk serta luka di kepala dan lebam di paha,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Fadil berkata kejadian berlaku sewaktu kesemua mangsa dalam perjalanan dari Bandar Tawau menuju ke Pekan Semporna, namun pemandu hilang kawalan apabila tayar hadapan sebelah kanan kenderaan pecah.”Pemandu hilang kawalan dan terlanggar besi penghadang jalan yang mengakibatkan kedua-dua mangsa yang duduk kerusi belakang tercampak keluar,” katanya dan kereta tersebut terbalik sebanyak dua kali. – Bernama