2 pengarah ekspatriat FABD dilepaskan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Persatuan Bolasepak Negara Brunei Darussalam (FABD) hari ini menerusi siaran akhbarnya mengumumkan bahawa FABD dan dua pengarah ekspatriatnya telah mencapai kata sepakat mengenai tempoh perkhidmatan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Pengarah Teknikal FABD, Sivaji Narayanan Nair dan Pengarah Pengadil FABD, Abdul Razak Anuar telah bersetuju untuk meletak jawatan masing-masing dan menamatkan kontrak mereka yang sedia ada bersama pihak persatuan.

Menurut FABD, keputusan tersebut sangat sukar dibuat kerana kedua-dua mereka telah memberikan kerjasama yang cemerlang sejak bulan Jun 2020 dan atas persetujuan bersama kontrak mereka berakhir pada 30 Ogos lepas.

Walaupun tempoh perkhidmatan mereka hanya dalam jangka masa yang pendek, namun FABD amat menghargai sumbangan mereka dan ingin menyampaikan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian mereka selama berkhidmat dalam persatuan.

Selain itu, pihak persatuan juga telah mencapai persetujuan bersama dengan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk membenarkan beliau kembali ke negara asalnya pada bulan ini.

Datuk K Rajagobal akan terus menjadi ketua jurulatih kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Beliau juga telah menyatakan kesediaannya dalam melatih pasukan secara maya berdasarkan norma baharu.

FABD juga ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk K Rajagopal atas sokongannya yang amat berharga serta memahami situasi masa kini.

Selain itu juga, FABD berharap semoga ketiga-tiga ekspatriat ini akan sentiasa berada dalam keadaan yang selamat, lebih-lebih lagi ketika dunia sedang berhadapan dengan keadaan yang sangat mencabar membendung penularan COVID-19.