Friday, October 7, 2022
21.8 C
Brunei

2 penghulu, 6 ketua kampung baharu terima sijil lantikan

-

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 5 SEPT – Dua orang penghulu mukim dan enam orang ketua kampung yang baru dilantik di Daerah Tutong telah menerima sijil lantikan masing-masing pada majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis penyampaian sijil lantikan ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan. 

Penghulu yang menerima sijil lantikan pada majlis itu ialah Penghulu Mukim Pekan Tutong, Awang Salim bin Haji Othman, dan Penghulu Mukim Ukong, Haji Mohamad Danial
@ Tekpin bin Ya’akub.

Manakala itu, ketua-ketua kampung yang baru dilantik terdiri daripada Ketua Kampung Danau, Haji Mahmud bin Haji Johari; Ketua Kampung Rambai, Awang Mohd Dahalan bin Kaslan; Ketua Kampung Penabai dan Kuala Tutong, Awang Muhammad Sofiyuddin bin Mohd Serudin; Ketua Kampung Ukong, Awang Muhammad Hakimi bin Abdullah Gampar; Ketua Kampung Sengkarai, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dan Ketua Kampung Penanjong, Awang Muhammad Ariffin bin Haji Akip.

Terdahulu, tetamu kehormat dalam ucapan alu-aluannya menekankan pentingnya peranan, bidang tugas dan tanggungjawab penghulu mukim dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat dan penduduk negara ini secara menyeluruh dan mapan, terutama dalam mendukung dasar-dasar dan juga usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mempelbagaikan sumber perekonomian negara di samping melaksanakan tugas dan tanggungjawab sepertimana yang telah digariskan di dalam buku Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung.

Tetamu kehormat menyampaikan sijil lantikan kepada salah seorang ketua kampung yang baru dillantik.
Penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang baru dilantik membaca ikrar pada majlis itu.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan para penghulu mukim dan ketua ketua kampung supaya tidak akan leka dengan bidang tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dalam memeduli hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan anak-anak buah mukim dan kampung di kawasan masing-masing.

“Selaku pemimpin-pemimpin akar umbi, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung perlulah memahami tentang keperluan, kemahuan, corak, aspirasi dan harapan masyarakat setempat yang ditadbir dan untuk sentiasa berdamping rapat dan turun padang, prihatin dan memeduli masyarakat tidak mengira tempat dan waktu kerana ianya merupakan satu amanah dan kepercayaan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan. 

“Pendekatan turun padang ini adalah sangat bersesuaian dan relevan bagi mengeratkan dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama penghulu-penghulu mukim dan
ketua-ketua kampung dengan masyarakat mukim dan kampung malahan ia secara tidak langsung bagi memeduli, mengetahui dan mengenal pasti sebarang aduan-aduan dan permasalahan yang dihadapi bagi diambil perhatian dan tindakan,” tambah beliau.

Selepas penyampaian sijil-sijil lantikan, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar oleh
penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang baru dilantik dan kemudiannya menandatangani ikrar. Kemudian, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung baharu berkenaan menyampaikan ucapan.

Majlis juga diselajurkan dengan pelancaran papan-papan tanda penghulu mukim dan ketua kampung yang baru dilantik di perkarangan kediaman masing-masing yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Sydney siap sedia hadapi banjir besar

SYDNEY, 6 OKT – Bandar paling ramai penduduk di Australia, Sydney, mencatatkan rekod hujan tahunan selama 70 tahun hari ini selepas satu tahun memperingati...
- Advertisment -