Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 14 NOV – Kontinjen Brunei melakar detik membanggakan apabila Mia Tan Wan Ru dan Wong Xi Jay berjaya meraih kedudukan podium dalam Kejohanan Robot Profesional Global (G-PRC) kali ke-9, di Imperial Permaisuri Mall, Miri, Malaysia pada 12 November lalu.
Wong Xi Jay dianugerahkan Juara Kebangsaan Brunei dalam kalangan peserta Brunei dan menerima Anugerah Cemerlang daripada penganjur, Probo Korea.
Sementara itu, Mia Tan Wan Ru mendapat kedudukan naib juara dalam segmen Brunei bagi Pusingan Kejohanan Dunia.
Bercakap kepada media, Tricia Chiam Chiu Lan dari Zenius Tech Brunei menyatakan bahawa acara tahunan yang dianjurkan oleh Probo Korea ini merupakan peluang di mana pelajar-pelajar muda yang berfikiran tajam menguji robot mereka.
“Terdapat banyak kategori tetapi peserta Brunei dan Miri mengambil bahagian dalam salah satu kategori, Sentuhan Kelajuan. “Tahun ini terdapat lima buah negara peserta iaitu Singapura, China, Malaysia, Brunei dan Korea bertanding dalam Kejohanan Dunia,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa para peserta dapat membina, memprogram, menguji dan membina semula robot mereka sebelum acara tersebut.
“Semasa acara itu, peserta menggunakan robot mereka untuk bersaing. Nombor dipaparkan pada monitor, pemain perlu mendapatkan robot mereka untuk menekan butang yang memaparkan nombor pada monitor menggunakan alat kawalan jauh.
“Setiap permainan berlangsung selama satu minit. Kanak-kanak menguji robot mereka di rumah atau di pusat saya. Ia adalah permainan ketangkasan; bagaimana saiz, berat dan kemahiran dengan alat kawalan jauh menentukan betapa cepat robot boleh bergerak,” kata Tricia.
Beliau juga menyatakan bahawa acara itu berlangsung serentak di lima buah negara pada hari itu, dengan keputusan perlawanan disiarkan di platform dalam talian.