Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Dua peserta negara akan menyertai Musabaqah Antarabangsa Al-Malik Abdul Aziz Bagi Menghafaz, Membaca dan Mentafsir Al-Quran kali ke-39 yang akan diadakan di Tanah Suci Mekah pada 7 hingga 11 Oktober ini.
Awang Muhammad Hazri bin Haji Mohd Hamzani dan Awang Abdul Aziz bin Haji Noor Nasran berlepas ke Jeddah hari ini bersama pengurus dan jurulatih mereka Awang Adi Nuriman bin Pengarah Haji Abdullah dari Bahagian Kemajuan Syiar Islam.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat jalan kepada rombongan tersebut ialah Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Haji Madzneh bin Haji Mohd Noor.
Awang Muhammad Hazri yang merupakan siswa Diploma ‘Aliah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) akan menyertai Kategori 30 Juz Al-Quran manakala Awang Abdul Aziz yang merupakan penuntut ITQSHHB akan menyertai Kategori 15 Juz Al-Quran.
Awang Muhammad Hazri ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei berkata, beliau telah membuat persediaan dalam mengikuti musabaqah berkenaan dengan mengulang hafalan setiap hari dengan harapan untuk mendapat yang terbaik sewaktu musabaqah antarabangsa itu.

“Setiap hari saya mesti mengulang, terutama selepas sembahyang membacanya supaya tidak lupa. Selain itu, saya juga menjalani tasmiq juga bersama kawan-kawan dan juga guru,” ujarnya.
“Dalam sehari, saya mengulang lebih kurang tiga juz dan paling banyak dalam lima juz sehari,” tambah beliau.
Sebelum ini, beliau juga pernah mengikuti pertandingan musabaqah seperti yang diikuti pada kali ini, di mana pada tahun lepas, beliau telah diterbangkan ke Dubai bagi kategori 30 Juz Al-Quran.
Manakala Awang Abdul Aziz pula mengongsikan bahawa mengulang hafalan merupakan persediaan yang beliau telah lakukan dalam mengikuti Musabaqah Antarabangsa Al-Malik Abdul Aziz bagi Menghafaz, Membaca dan Mentafsir Al-Quran kali ke-39.
“Persediaan saya ialah sentiasa mengulang Al-Quran dan mengingatinya, dan juga bertanya soalan kepada kawan-kawan dan juga ustaz-ustaz bagi persiapan musabaqah ini,” jelas beliau.
“Paling kurang saya mengulang hafalan Al-Quran ialah dalam dua ke tiga juz sehari,” katanya.
Pada tahun ini juga beliau telah meraih di tangga keenam daripada 29 orang dalam musabaqah antarabangsa di Jakarta.