Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Dua lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, berhubung dengan kematian seorang lelaki tempatan di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah, Khamis lalu.
Supariddin bin Haji Mat Jinin dan Haji Tuah bin Haji Tarip didakwa bersubahat dengan orang lain atas pertuduhan membunuh tanpa niat Haji Aziz bin Haji Johara berusia 44 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Sharon Yeo memaklumkan mahkamah bahawa polis masih menjalankan siasatan dan memohon bagi penangguhan sementara.
Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin menetapkan 21 Januari untuk kes disebut semula dan memerintahkan kedua-dua tertuduh untuk ditahan reman.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana bersubahat membunuh tanpa niat.
Sementara itu, Media Permata dalam keluaran 13 Jan melaporkan seorang lelaki tempatan maut setelah dipercayai dipukul oleh beberapa orang lelaki tidak dikenali dalam satu perkelahian di kawasan Jalan Kuala Lurah.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan disahkan meninggal dunia.
































