Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh telah menjalankan pemeriksaan ke tempat-tempat kediaman pekerja asing
yang melibatkan sebanyak 89 buah syarikat dan 119 buah tempat kediaman dari 1 sehingga 27 Ogos.
Jabatan Buruh menyatakan bahawa pemeriksaan berkenaan bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang di bawah Perintah Pekerjaan 2009 khususnya di bawah Bab 80 dan Bab 81 yang menyatakan kewajipan majikan menyediakan bagi pekerja-pekerjanya tempat kediaman yang bersih, selesa dan selamat serta pembinaan dan penyelenggaraan mana-mana bangunan atau tempat kediaman pekerja yang digunakan hendaklah mematuhi kehendak undang-undang bertulis yang lain.
Pemeriksaan itu juga bertujuan untuk memastikan tempat kediaman pekerja selaras dan mengikut standard minimum garis panduan piawaian perumahan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Buruh.
Setakat ini, dua buah syarikat telah diarahkan untuk memindahkan pekerja-pekerjanya ke tempat yang memenuhi piawaian minimum perumahan khususnya mempunyai kapasiti bilik-bilik yang boleh menampung jumlah pekerja yang sedia ada dan di tempat yang dibenarkan sahaja.
Kegagalan mematuhi kehendak di bawah Bab 80 dan Bab 81, Perintah Pekerjaan 2009, boleh diambil tindakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua, manakala kesalahan seterusnya dikenakan tindakan pendakwaan seperti kehe-dak Bab 148 iaitu jika sabit kesalahan didenda tidak lebih $3,000, penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya akan sentiasa memantau hal ehwal kebajikan dan keberadaan pekerja mereka menurut kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 khususnya tanggungjawab mereka terhadap tempat penginapan dan kesejahteraan pekerja masing-masing.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, boleh berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).
