2 syarikat didenda, 2 lagi diberi amaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Empat buah syarikat telah didapati melakukan beberapa kesalahan dalam pemeriksaan mengejut yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) menerusi Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna di Kampung Tanjong Bunut dan Sengkurong, baru-baru ini.

Menurut kenyataan JPKE, dua buah syarikat perniagaan telah dikenakan kompaun berjumlah $500 bagi kesalahan menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum, manakala dua buah syarikat lagi telah dikeluarkan notis amaran kerana tidak mempamerkan tanda harga.

Pemeriksaan tersebut diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad. Kenyataan menjelaskan, lawatan mengejut itu diadakan bagi memastikan barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, termasuk minyak masak dan susu tepung formula dijual tidak melebihi had maksimum yang telah ditetapkan, manakala beras pula tidak dijual melebihi harga subsidi yang ditetapkan.

Pemeriksaan mengejut tersebut juga turut memeriksa kepatuhan para peniaga terhadap peraturan tanda harga dan peraturan jualan murah bagi memastikan maklumat harga barangan adalah telus dan aktiviti jualan murah dijalankan secara beretika. Di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, syarikat yang didapati melakukan kesalahan setelah dikeluarkan notis amaran boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $1,000 sementara kesalahan berulang boleh didakwa dan dikenakan denda maksima sebanyak $20,000 dan penjara selama lima tahun oleh mahkamah.

JPKE menetapkan harga maksima bagi empat jenis barangan iaitu minyak masak, susu tepung formula, kenderaan bermotor penumpang dan bata tanah liat.

Pemeriksaan JPKE ke salah sebuah syarikat perniagaan diketuai oleh Pengiran Hajah Siti Nirmala.
Peniaga diberikan senarai terkini penetapan harga maksima bagi barangan kawalan semasa pemeriksaan dilakukan.
Barangan kawalan yang didapati dijual melebihi harga maksima yang telah ditetapkan oleh JPKE.

Peniaga bebas menentukan harga runcit yang kompetitif asalkan tidak melebihi harga maksima yang telah ditetapkan.

Barangan selain daripada yang tersenarai dalam akta ditentukan oleh para peniaga sendiri tertakluk kepada pasaran dan faktor bekalan dan permintaan barangan.

Pengguna juga digalakkan untuk membuat perbandingan harga bagi mendapatkan produk pada nilai terbaik. Juga ditekankan perbezaan harga di antara kedai-kedai tidaklah menjadi satu kesalahan.

Walau bagaimanapun, peniaga disarankan untuk melaksanakan aktiviti perniagaan secara adil dan beretika bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang berdaya tahan dan sihat di negara ini.

JPKE dalam kenyataan itu menyarankan orang ramai untuk mengakses aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau SmartConsumer yang menyediakan platform perbandingan harga bagi barangan keperluan harian tertentu dan barangan kawalan dan memperkenalkan undang-undang berkaitan kepenggunaan. Selain itu, ia juga menjadi saluran bagi para pengguna untuk berkongsi maklum balas dan membuat aduan.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas, orang ramai dinasihatkan untuk berhubung terus dengan JPKE melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau SmartConsumer atau melalui talian2230223 (waktu pejabat), emel kepada aduanpengguna@jpke.gov.bn atau consumercomplaint@jpke.gov.bn atau pergi ke Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, JPKE, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping.