Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Dua belia telah dianugerahkan biasiswa Chancellor’s Scholar Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan berprestij di luar negara.
Majlis penganugerahan dan penandatanganan bagi biasiswa berkenaan telah diadakan di UBD, hari ini, di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan pihak pengurusan kanan universiti.
Penerima biasiswa berprestij berkenaan bagi tahun ini ialah Dayangku Amirah Najibah binti Pengiran Aliuddin yang akan mengikuti DPhil in Inorganic Chemistry di Universiti Oxford.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari UBD di mana beliau lulus dengan kepujian kelas pertama, pengkhususan dalam Kejuruteraan Am. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Buku untuk Prestasi Cemerlang dalam modul Tahap 4000 dan 5000 bagi tahun akademik 2021/2022.
Seorang lagi penerima ialah Awang Ahmad Zakwan bin Haji Mohd Salleh, yang telah dianugerahkan biasiswa Kementerian Pendidikan untuk pengajian sarjana muda dan mencapai kelas pertama dalam BSc Mathematics daripada Imperial College London, sebuah universiti bertaraf dunia dan berdaya saing tinggi.
Beliau akan mengikuti pengajian MSc Kewangan dan Teknologi juga di Imperial College London.
Sebelum memperoleh ijazah sarjana muda, beliau juga merupakan penerima biasiswa Kementerian Pendidikan, dihantar untuk melanjutkan pelajaran peringkat A di Sekolah Antarabangsa Jerudong di mana beliau mencapai kepu-tusan cemerlang 4 A bintang.
Menurut UBD, Chancellor’s Scholar ialah biasiswa berprestij yang dianugerahkan setiap tahun oleh UBD kepada belia cemerlang yang ingin meneruskan kerjaya akademik.
Penerima biasiswa menerima pendidikan teladan di universiti kelas pertama untuk ijazah sarjana dan atau kedoktoran.
Mereka juga akan menerima program pembangunan peribadi, bimbingan dan penempatan dengan ahli akademik di UBD dan di institusi luar negara.