2 timbalan ketua pegawai eksekutif baharu dilantik

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Bank konvensional terbesar di negara ini, Bank Baiduri hari ini mengumumkan pengembangan struktur organisasi ketua pegawai eksekutifnya dengan pelantikan dua jawatan timbalan ketua pegawai eksekutif baharu.

Bank Baiduri telah menyaksikan pelantikan Manuel Bulens sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif Bahagian Pematuhan dan Tadbir Urus Korporat yang baru ditubuhkan. Sementara itu Pengiran Azaleen bin PD Haji Mustapha memegang jawatan timbalan ketua pegawai eksekutif Bahagian Pembangunan Perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui ketika mengulas struktur kedua-dua timbalan ketua pegawai eksekutif menyatakan, “Perubahan yang signifikan dalam persekitaran peraturan dan pasaran dalam beberapa tahun terakhir dan lebih banyak perubahan akan dilakukan pada masa akan datang, struktur organisasi kita perlu berkembang untuk menangani skop tanggungjawab yang diperluas.”

Beliau turut menambah bahawa Bank Baiduri menyedari keperluan untuk membawa masuk pegawai bank kanan yang berkepakaran dan mempunyai pengalaman antarabangsa dalam bidang perbankan khusus.

“Pelantikan Manuel Bulens tidak akan mungkin dilakukan tanpa persetujuan dan sokongan pihak berkuasa,” jelasnya. Timbalan ketua pegawai eksekutif Bahagian Pembangunan Perniagaan yang baharu, Pengiran Azaleen, mempunyai pengalaman perbankan dalam bahagian perbendaharaan, perbankan runcit dan pengurusan rangkaian cawangan.

Ti Eng Hui bergambar bersama dengan Manuel Bulens (kiri) dan Pengiran Azaleen (kanan) yang baru dilantik sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif. – Gambar serahan Bank Baiduri

Beliau memulakan kerjayanya di HSBC Brunei dengan memegang jawatan dalam bahagian perbendaharaan dan pengurusan di perbankan swasta dan institusi kewangan.

Beliau kemudiannya menyertai Bank Baiduri pada tahun 2005 sebagai bendahari sebelum dinaikkan pangkat menjadi ketua perbankan runcit & rangkaian cawangan pada tahun 2014 dan menjadi timbalan ketua pegawai eksekutif pada bulan Mei tahun 2019.

Beliau juga merupakan pengarah Baiduri Capital dan ahli APEC Business Advisory Council (ABAC) Brunei Darussalam.

Sementara itu Manuel Bulens mempunyai pengalaman selama 19 tahun dalam perbankan antarabangsa bagi pematuhan, pengawalan, risiko dan pentadbiran dengan cawangan Citibank di Belgium, Sepanyol, Rusia dan Korea Selatan.

Jawatan terakhir beliau merupakan ketua perbankan runcit di Alliance Bank Malaysia pada Jun 2018 hingga Disember 2019.

Beliau juga merupakan juruaudit dalaman, juruaudit sistem maklumat dan banker berkanun yang bertauliah. Pelantikan beliau selaku timbalan ketua pegawai eksekutif bermula 20 Julai.

Ti Eng Hui menjelaskan bahawa pihak bank bertuah kerana mereka mempunyai bakat yang luar biasa dan berkepakaran serta dapat menyediakan peluang bagi kakitangan yang berbakat dan mempunyai prestasi yang tinggi dengan kebolehan kepimpinan untuk menyertai dan mengembangkan pasukan pengurusan.

Dengan perubahan ini sudah semestinya ia memperkukuhkan lagi pengurusan pasukan dalam persekitaran yang pantas dan kompleks.

Ia adalah perubahan pen-ting bagi meneruskan perkembangan perniagaan dan peluang komersial jelasnya lagi.