2 wadar didakwa langgar peraturan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Dua wadar penjara telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, atas dakwaan melanggar peraturan penjara yang melarang perdagangan dengan banduan, dalam tiga kejadian antara Februari dan April 2019.

Wadar 662 Azman Ilham bin Haji Mohd Noor dan Wadar Wanita 622 Siti Naemah binti Haji Lilah didakwa menyampaikan surat-surat tanpa kebenaran sah antara banduan lelaki di Penjara Maraburong, Wong Soon Teck dan banduan wanita di Institusi Penjara Perempuan, Jerudong, Rannie Labu.

Kedua-dua banduan berkenaan adalah suami isteri dan mereka sedang menjalani hukuman penjara dalam institusi penjara berasingan.

Siti Naemah mengaku bersalah terhadap tiga dakwaan ke atasnya dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff memaklumkan mahkamah bahawa per-hubungan antara banduan dan saudara mereka hanya dibenarkan dengan mengikut peraturan penjara. Surat-surat hanya boleh dihantar dan diterima menerusi Unit Rekod, Jabatan Penjara.

Siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah mendedahkan bahawa sekitar Februari 2019, Siti Naemah menerima surat yang ditulis oleh Wong daripada seorang wadar di Penjara Maraburong untuk disampaikan kepada Rannie.

Apabila masuk kerja di Penjara Jerudong pada hari berikutnya, Siti Naemah menyampaikan surah berkenaan kepada Rannie. Dia melakukannya di belakang meja supaya ia tersembunyi daripada banduan dan pegawai penjara lain. Kemudian, dia menyediakan pen dan kertas kepada Rannie untuk membalas surat berkenaan.

Siti Naemah mengambil surat balasan berkenaan dan menyerahkannya kepada wadar penjara yang ditempatkan di Penjara Maraburong berkenaan. Surat berkenaan akhirnya sampai kepada Wong.

Sekali lagi pada April 2019, Siti Naemah menerima satu lagi surat daripada wadar Penjara Maraburong untuk disampaikan kepada Rannie. Surat itu juga ditulis oleh Wong yang masih berada dalam penjara.

Ketika bertugas di sel penjara, dia memanggil Rannie ke tandas wadar wanita untuk menyerahkan surat berkenaan dan sekali lagi memberikan pen dan kertas untuk membalas surat berkenaan tetapi tidak sempat kerana wadar lain memasuki tandas
berkenaan.

Timbalan pendakwa raya menekankan bahawa sebagai pegawai penjara, Siti Naemah mempunyai tugas untuk mengawas dan memantau aktiviti-aktiviti banduan
untuk memastikan bahawa peraturan penjara dikuatkuasakan.

Sebaliknya dia berulang kali mengabaikan tugasnya apabila membenarkan banduan-banduan melangkau peraturan-peraturan mengenai perhubungan antara banduan.

Tindakannya mempunyai potensi menghakis kepercayaan yang diberikan kepada pegawai-pegawai penjara untuk memulihkan banduan.

Dalam menjatuhkan hukuman, Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menganggap kesalahan berkenaan sebagai serius. Tindakan Siti Naemah mempunyai ‘kesan ke aras ke-sejahteraan banduan-banduan dan ke-selamatan kebangsaan penjara’.

Ketua majistret mendapati bahawa peraturan mengenai menulis dan menghantar surat oleh bantuan dikuatkuasakan untuk mengelakkan komunikasi yang tidak diingini.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa pendekatan tegas perlu diambil bagi mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan seumpamanya.

“Hukuman pencegahan perlu diberikan untuk memberikan mesej jelas kepada pegawai-pegawai lain bahawa pelanggaran peraturan seperti itu yang boleh membahayakan keselamatan penjara tidak akan diambil ringan,” tegas mahkamah.

Sementara itu, Azman Ilham memaklumkan mahkamah bahawa dia belum bersedia bagi pengakuannya dirakamkan.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes terhadap Azman Ilham untuk dibacakan lagi pada 22 Jun 2020.