Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    2 wakil belia negara berlepas ke Indonesia

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Dua orang perwakilan belia Negara Brunei Darussalam berlepas ke Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, hari ini, bagi menyertai ASEAN Leaders’ Interface dengan Perwakilan Belia ASEAN.

    Republik Indonesia menjadi tuan rumah bagi ASEAN Leaders’ Interface dengan Perwakilan Belia ASEAN yang bermula pada 9 hingga 12 Mei itu yang merupakan sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Meruorah Komodo Labuan Bajo.

    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Dayangku Farah Amirah binti Pengiran Redzuan.

    Belia negara diwakili oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Pejabat Wawasan Brunei, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Muhammad Zainul-Akhyaar bin Amer Hairunuddin, dan mahasiswi Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dayang Siti Rafhanah binti Nor Hasnul.

    Sementara itu, temu bual media dengan perwakilan belia negara, Awang Muhammad Zainul-Akhyaar antara lain mengongsikan menghadiri ASEAN Leaders’ Interface bersama ketua negara dan kerajaan ASEAN adalah untuk menyampaikan cadangan-cadangan yang telah disediakan oleh belia-belia ASEAN yang telah menghadiri dialog belia pada April lepas.

    Dayangku Farah Amirah bergambar ramai bersama perwakilan belia Negara Brunei Darussalam.
    Awang Muhammad Zainul-Akhyaar semasa ditemu bual melahirkan rasa terharu kerana dapat mewakili negara.
    Dayang Siti Rafhanah menzahirkan rasa terima kasih kerana terpilih untuk mewakili negara bagi ASEAN Leaders’ Interface.

    Katanya lagi, “Cadangan itu mengenai pemacuan transformasi digital bagi pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berdaya tahan di Asia Tenggara, yang mana cadangan ini akan disampaikan kepada ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN semasa di Labuan Bajo nanti.”

    Beliau turut melahirkan rasa terharu kerana dapat mewakili negara dan seterusnya dapat menyampaikan cadangan tersebut dan menjadi suara belia kepada ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN.

    Sementara Dayang Siti Rafhanah pula ketika di temu bual, melahirkan rasa terima kasih kerana terpilih untuk mewakili negara bagi ASEAN Leaders’ Interface dengan Perwakilan Belia ASEAN yang lain.

    Selain itu ia juga merupakan peluang bersemuka dan berbincang serta duduk bersama pemimpin ASEAN di mana mereka akan membentangkan apa yang telah mereka lakukan setakat ini dengan dasar dan cadangan berkenaan SDG ke arah transformasi digital.

    Rombongan belia ini merupakan perwakilan belia yang telah menghadiri Dialog Belia ASEAN (AYD) mengenai Pembangunan Digital untuk SDG yang telah diadakan pada 11 hingga 13 April 2023 di Jakarta, Indonesia.

    Perwakilan belia dipilih oleh Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Belia (SOMY) masing-masing berdasarkan penilaian Perwakilan SOMY.

    Turut hadir bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman, serta pegawai-pegawai JBS, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Di sepanjang ASEAN Leaders’ Interface dengan Perwakilan Belia ASEAN, perwakilan belia ASEAN akan berpeluang mengikuti beberapa aktiviti seperti menghadiri mesyuarat tersebut bersama pemimpin ASEAN, bertemu dan bersemuka bersama komuniti Labuan Bajo, makan malam dihoskan oleh Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo, serta membuat lawatan di sekitar Labuan Bajo.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...