2 warga asing ceroboh kelab polo didenda

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Dua lelaki warga Indonesia dijatuhi denda $1,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah menceroboh Kelab Polo Jerudong.

Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim menjatuhkan denda itu terhadap Marwanto, 39, dan Iko Pradana, 22, dan turut memerintahkan hukuman satu bulan penjara jika gagal membayar.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh menceroboh kawasan kelab polo sekitar jam 7 pagi pada 8 September 2019, dengan memandu masuk ke kawasan itu.

Selepas meletakkan kereta, mereka pergi ke sungai berhampiran untuk memancing.

Semasa memancing, mereka turut memerhatikan sebuah rumah, yang mereka tahu mempunyai sarang burung walit dan memutuskan untuk memasukinya.

Pengawal keselamatan yang membuat rondaan ketika itu terlihat kenderaan milik tertuduh yang tidak sepatutnya berada di kawasan tersebut.

Pengawal tersebut memaklumkannya kepada rakan sekerjanya.

Mereka membuat rondaan sehingga menemukan tertuduh berada di rumah tersebut.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah ‘Adzimah Mukarramah binti Haji
Salleh.