2 warga tempatan ditahan terlibat dadah

Gambar serahan BKN

TEMBURONG, 14 JULAI – Dua lelaki tempatan yang berumur 34 dan 51 tahun telah ditahan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) Bahagian Daerah Temburong semasa serbuan di sebuah kediaman di Kampung Sibulu, Temburong pada 7 Julai lalu.

Hasil daripada serbuan dan pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui paket-paket plastik berisi pecahan hablur dipercayai dadah jenis syabu, dadah Kelas A melebihi 35 gram yang dianggarkan bernilai melebihi $5,000.

Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, antara barangan lain yang dirampas ialah alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah, timbangan digital dan paket-paket plastik kosong serta sejumlah wang tunai dianggarkan melebihi $600 dan pelbagai mata wang asing yang kesemuanya dipercayai membabitkan aktiviti pengedaran dadah.

Sementara itu, tangkapan akan disiasat di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa hukuman minimum lima tahun penjara dan lima sebatan dan hukuman maksimum 20 penjara dan 15 sebatan dan memiliki bagi tujuan mengedar dadah terkawal Kelas A, lebih dari 100 gram membawa kepada hukuman gantung hingga mati.

Selain itu, Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda sebanyak $10,000 atau kedua-duanya; Seksyen 10 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah APD, Penggal 27.

Sehubungan itu, BKN mengingatkan sesiapa yang cuba melakukan atau bersubahat melakukan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum di bawah APD, Penggal 27, akan dihukum dengan hukuman yang sama seolah-olah ia melakukan kesalahan tersebut.

Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]

Wang tunai yang turut dirampas dalam serbuan berkenaan.
Paket-paket plastik berisi pecahan hablur dipercayai dadah jenis Syabu yang ditemui dalam serbuan itu.