Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 ahli KENABIN meriahkan rumah terbuka

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 16 Julai – Lebih 20 orang ahli Kelab Belia Nadi Al-Muhibbin (KENABIN) Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, hari ini, berkumpul bagi memeriahkan lagi Rumah Terbuka Belia KENABIN sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    Majlis yang diadakan di Bilik Perpustakaan Masjid RPN Bukit Beruang Tutong itu turut dihadiri oleh Pengerusi Belia KENABIN, Awang Mohd Padini bin Ta’ai. Menurut Awang Mohd Padini ketika ditemu bual menjelaskan bahawa rumah terbuka yang diadakan ini merupakan kali kedua memandangkan kelab ini ditubuhkan pada awal bulan Februari 2015.

    Acara seumpamanya itu, jelasnya lagi, bertujuan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara para belia-belia terutama belia KENABIN untuk sama-sama berkumpul bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri di samping dapat menggalakkan para belia kampung untuk hadir ke masjid.

    Pada masa ini, keramaian ahli belia KENABIN adalah lebih 50 orang yang terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah rendah dan menengah di sekitar kampung berkenaan.

    Lebih 20 orang ahli belia KENABIN Masjid RPN Bukit Beruang menghadiri majlis tersebut.
    Lebih 20 orang ahli belia KENABIN Masjid RPN Bukit Beruang menghadiri majlis tersebut.

    Belia KENABIN sering menjalankan pelbagai kegiatan seperti mengadakan lawatan ke beberapa buah tempat, beriadah, aktiviti keagamaan seperti Qiamullail, amali agama dan banyak lagi.

    “Apa-apa sahaja kegiatan akan dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp dan para belia juga berpeluang mengikuti aktiviti-aktiviti berfaedah terutamanya bagi mengisi musim cuti persekolahan mereka nanti,” jelas Awang Mohd Padini lagi. Beliau dalam pada itu berharap belia-belia kampung dan sekitar kampung berkenaan akan dapat berkumpul dan bergiat aktif dalam menjalankan kegiatan-kegiatan yang bermanfaat di samping dapat mengharumkan lagi nama masjid dan kampung berkenaan, sesuai dengan visinya iaitu berusaha membimbing generasi muda menuju ke jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wa’taala.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda