20 dalami ilmu mengenai solat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Lebih 20 orang mendalami ilmu pengetahuan mengenai rukun-rukun dan perkara sunat dalam sembahyang di samping didedahkan mengenai ciri-ciri ibadah sembahyang dan kesannya menerusi Bengkel Menghalusi Sembah-
yang yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.

Bengkel dua hari berkenaan dikendalikan oleh Pengasas Bersama Pusat Al-Minhaaj, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak yang menjelaskan, ibadah sembahyang juga merupakan ibadah yang dianggap sebagai tiang agama, mereka yang mendirikan sembahyang, mereka itu membangun agama tapi mereka yang meninggalkannya adalah menghancurkan agama.

Beliau seterusnya menambah, ibadah sembahyang sangat istimewa yang diperintahkan Allah terus kepada Baginda Rasulullah SAW tanpa perantaraan (wasitah) dan merupakan satu-satunya ibadah yang tidak ada pengecualian syarat atau kemampuan. Ia wajib ditunaikan tidak mengira kaya atau miskin, tua atau muda (setelah baligh).

Antara intipati menarik termasuk mengupas aspek adab-adab sebelum sembahyang dan cara mendirikan ibadah sembahyang yang betul.

Bengkel itu dihasratkan untuk memberi peluang kepada para peserta meningkatkan pengetahuan dalam mendirikan ibadah sembahyang yang betul sebagai kewajiban dalam kehidupan.

Sebahagian peserta yang menyertai bengkel berkenaan.