BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Sembilan orang anggota kadet tentera dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah dinaikkan pangkat dalam acara yang berlangsung di White Canopy, UTB, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian tanda pangkat ialah Timbalan Pegawai Pemerintah, Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei (ASMDB), Mejar Zool Addyhamddymee bin Haji Bahmin.
Turut hadir ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Pada majlis tersebut, dua orang anggota kadet telah dinaikkan pangkat kepada sarjan kadet, manakala tiga orang lans koperal kadet telah dinaikkan pangkat kepada koperal kadet dan empat prebet kadet telah dinaikkan pangkat kepada lans koperal kadet.
Kadet Tentera UTB (KTUTB) ditubuhkan pada 2 Februari 2013 yang terdiri daripada 23 orang anggota. Sehingga kini, seramai 239 orang anggota kadet tentera telah menyertai KTUTB.
Semasa menyertai KTUTB, pelajar didedahkan dengan pelbagai kemahiran asas operasi ketenteraan seperti kawad, kemahiran senjata, pengetahuan asas bantuan cemas dan aktiviti latihan fizikal.