20 kadet terima kenaikan pangkat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Seramai 20 pelajar Politeknik Brunei (PB) yang menyertai Pasukan Kadet Tentera Politeknik, hari ini, telah menerima kenaikan pangkat pada Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di PB, Jalan Ong Sum Ping, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pangkat itu ialah Pendaftar PB, Hajah Hanipah binti Haji Apong.

Hadir sama ialah Timbalan Pegawai Pemerintah, Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei, 577 Mejar Zool Addyhamddymee bin Haji Bahmin.

Antara lain tujuan asas latihan Pasukan Kadet Tentera ialah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang sihat, berdisiplin dan berdikari serta mempelajari pengetahuan asas ketenteraan, kepimpinan dan tanggungjawab sebagai rakyat.

Antara aktiviti-aktiviti latihan serta kursus yang sering diadakan adalah seperti kawad kaki, kemahiran senjata, asas pertolongan cemas, membaca peta, semboyan (radio), menembak, latihan hutan dan latihan fizikal.

Pasukan Kadet Tentera PB yang setakat ini mempunyai anggota seramai 91 pelajar dan tiga pegawai PB juga aktif menyertai pertandingan dan acara seperti kawad, menembak, rentas desa, merintis dan perlawanan antara platun.

Majlis tersebut juga diadakan berpandukan saranan daripada Kementerian Kesihatan bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19.

Hajah Hanipah menyempurnakan penyampaian tanda pangkat bagi Pasukan Kadet Tentera Politeknik.
Serah terima tugas Pasukan Kadet Tentera Politeknik.