Thursday, September 19, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 kakitangan UBD terima sijil PFA

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – 20 kakitangan dari pelbagai fakulti di Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah berjaya menamatkan kursus Psychology First Aid (PFA) selama tiga hari, dan telah menerima sijil PFA yang sah selama dua tahun, hari ini.

    Kursus anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei itu telah diadakan di Kompleks Annajat dari 31 Julai hingga hari ini.

    Kursus PFA itu merupakan sebahagian kursus penting dalam pengurusan kesihatan mental yang menawarkan sokongan awal psikologi dan bantuan kepada orang yang dalam keadaan tertekan atau mengalami gangguan mental.

    Kursus tersebut memberi pendedahan kepada non-health care professional untuk mengenali tanda awal masalah mental dan menyediakan intervensi pertolongan cemas yang diperlukan.

    Kursus itu akan membekalkan kakitangan dengan pengetahuan dan kemahiran utama dalam menilai keperluan dan kebimbangan psikologi, memberikan keselesaan emosi, melindungi orang tertentu daripada kemudaratan, dan mengarahkan mereka untuk mendapatkan sokongan dan perkhidmatan profesional.

    Sesi bergambar ramai peserta kursus bersama ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei. – GAMBAR SERAHAN UBD
    Suasana semasa kursus PFA. – GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD

    Usaha UBD untuk mempromosikan kesihatan psikologi dalam kalangan pelajarnya selaras dengan seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan kepentingan menangani isu kesihatan mental di negara ini.

    Inisiatif berkenaan juga merupakan sebahagian daripada perancangan strategik UBD bagi mewujudkan ekosistem holistik yang menyokong kesejahteraan minda para pelajarnya.

    Kursus itu akan menjadi yang pertama daripada yang akan datang dalam tahun akademik ini.

    UBD bercadang untuk menawarkan latihan PFA kepada lebih ramai kakitangan universiti untuk mewujudkan komuniti yang lebih responsif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda