20 lulus JLPT terima sijil

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Seramai 20 orang yang lulus Ujian Kemahiran Bahasa Jepun (JLPT) dalam tahap N1 hingga N5, menerima sijil masing-masing pada Majlis Penyampaian Sijil JLPT yang berlangsung di Bangunan Kedutaan Jepun, Kiulap, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil ialah Timbalan Ketua Misi dan Kaunselor di Kedutaan Jepun di Brunei, Abe Hiroshi.

Pada majlis itu, Abe Hiroshi mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah mencapai kejayaan dan seterusnya memberi galakkan kepada mereka untuk terus mempelajari Bahasa Jepun.

Ujian JLPT yang bermula pada 1 Disember 2019 itu telah menerima 52 penyertaan dalam pelbagai peringkat iaitu dari N1 hinggalah ke N5 dan daripada jumlah tersebut, hanya 20 orang yang lulus.

Dalam ujian JLPT 2019, dua peserta dalam peringkat N1 telah berjaya dengan cemerlang iaitu Desmond Chin Shiumyean dan Chung Ming Hui.

Sejak penubuhannya pada 1984, JLPT telah ditawarkan oleh Yayasan Jepun sebagai cara yang boleh dipercayai untuk menilai dan mengesahkan kemahiran dalam bertutur Bahasa Jepun bagi bukan penutur bahasa tersebut.

JLPT diadakan setiap Disember di negara ini sejak 2008 dan JLPT 2020 akan diadakan pada 6 Disember depan yang mana permohonan akan dibukakan kepada orang ramai pada Julai depan.

Salah seorang peserta menerima sijil daripada tetamu kehormat.