20 maut akibat hujan lebat di Venezuela

MERIDA, VENEZUELA, 26 OGOS – Angka kematian akibat hujan lebat yang mencetuskan geluncuran lumpur dan banjir kilat di barat Venezuela telah meningkat kepada 20, kata pihak berkuasa tempatan semalam, dengan 17 orang masih hilang.

Sembilan negeri berada dalam situasi ‘darurat’ dan lebih daripada 54,000 orang telah terjejas oleh hujan lebat itu, beritahu Menteri Dalam Negeri Remigio Ceballos kepada televisyen negeri.

Pada Selasa, beliau mengingatkan hujan akan turun berterusan ‘untuk tempoh 10 hari akan datang.’

Kawasan yang paling teruk terjejas terletak di negeri Merida, di mana tebing sungai Mocoties pecah dan membanjiri kampung, memutuskan bekalan elektrik dan sambungan telefon.

Pegawai tempatan Jehyson Guzman berkata angka korban telah ‘meningkat kepada 20 hari ini,’ meningkat daripada 15 orang.

Hujan lebat juga melanda kawasan lain di Venezuela, termasuk ibu negara Caracas.

Hujan lebat berkenaan telah memusnahkan lebih daripada 8,000 rumah di 11 negeri, menurut Presiden Nicolas Maduro, yang mengaitkan cuaca melampau dengan perubahan iklim.

Saintis berkata perubahan iklim sedang menambah risiko hujan lebat di seluruh dunia, disebabkan atmosfera yang lebih panas menampung lebih banyak air. – AFP