20 maut banjir di Bangladesh

COX’S BAZAR, 30 JULAI – Banjir monsun dan tanah runtuh mengakibatkan lebih daripada 300,000 orang di kampung-kampung seluruh tenggara Bangladesh terkandas manakala 20 lagi terbunuh, termasuk enam orang pelarian Rohingya, menurut pegawai hari ini.

Kawasan-kawasan di sepanjang sempadan Bangladesh-Myanmar di mana hampr 1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar tinggal dalam khemah, terjejas oleh hujan lebat sejak Isnin lalu.

“Banjir mengakibatkan sekitar 306,000 orang terkandas di daerah Cox’s Bazar. Sekurang-kurangnya 70 kampung ditenggelami banjir,” pentadbir daerah, Mamunur Rashid memberitahu AFP.

“Sekurang-kurangnya 20 orang mati dalam banjir dan tanah runtuh termasuk enam pelarian Rohingya,” tambahnya.

Seramai 36,000 orang sudah dipindahkan ke sekolah-sekolah dan pusat perlindungan siklon, kata pegawai.

“Banyak kediaman dibanjiri air. Beribu-ribu orang tidak dapat keluar dari kawasan mereka dalam masa tiga hari lalu. Jalan raya kebanyakannya tersekat,” Tipu Sultan, seorang canselor di kawasan pedalaman Kesatuan Jhilwanja, memberitahu AFP melalui telefon.

Awal minggu ini, Bangladesh turut memindahkan 10,000 pelarian Rohingya daripada kem-kem sekitar kawasan pelarian Cox’s Bazar kerana taufan. – AFP

Seorang kanak-kanak meredah kawasan banjir menggunakan rakit buatan di Maulovir Para, Cox’s Bazar selepas banjir monsun dan tanah runtuh mengakibatkan lebih 300,000 terkandas di tenggara Bangladesh dan meragut 20 nyawa. – AFP