20 maut dalam rusuhan perkauman

NEW DELHI, 26 FEB – Polis rusuhan meronda jalan di ibu negara India hari ini dan pemimpin bandar menggesa perintah berkurung dikenakan ekoran pertempuran di antara penduduk Hindu dan Islam yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa.

Pergolakan dua hari, yang menyaksikan pertempuran di antara perusuh bersenjatakan parang dan senapang, adalah keganasan sektarian paling teruk yang dilihat di Delhi dalam beberapa dekad.

Pertempuran meletus di tengah ketegangan agama yang meruncing ekoran undang-undang kerakyatan yang dikatakan oleh pengkritik merupakan sebahagian daripada agenda nasionalis Hindu Perdana Menteri Narendra Modi.

Ketua menteri Delhi, Arvind Kejriwal hari ini meminta tentera dihantar dan perintah berkurang dikenakan di daerah barat laut.

“Polis, meskipun usaha mereka, gagal mengawal keadaan dan memupuk keyakinan,” tulis Kejriwal di Twitter pada pagi ini.

Pekerja Parti Kongres melaung slogan menentang Perdana Menteri Narendra Modi ketika bantahan di Amritsar kelmarin. – AFP

“Tentera harus dikerah dan perintah berkurung dikenakan.”

Pertempuran bermula pada Isnin di antara penduduk yang menyokong dan menentang undang-undang kerakyatan, seterusnya berubah menjadi pertempuran di antara perusuh.

Seramai 20 orang terbunuh dan hampir 200 yang lain cedera dalam keganasan hari pertama, beritahu pengarah hospital di mana mangsa dibawa, kepada AFP hari ini.

Enam puluh orang mengalami luka tembakan, menurut pengarah, Sunil Kumar. Kawasan itu menjadi tempat tinggal kepada kebanyakan pendatang miskin yang tinggal di kawasan gubuk, dan ada di antara mereka melarikan diri hari ini sebelum pertempuran baharu dijangka meletus lagi.

Undang-undang kerakyatan baharu telah menimbulkan kebimbangan di luar negara bahawa Modi mahu menubuhkan semula India sekular kepada negara Hindu sementara menyisihkan 200 juta penduduk Islam di negara itu, satu dakwaan yang dinafinya. – AFP