20 maut dalam serangan pengganas Boko Haram di Nigeria

KANO, NIGERIA, 19 MEI – Pengganas Boko Haram membunuh 20 orang awam dalam serangan di sebuah kampung di timur laut Nigeria ketika penduduk sedang bersiap untuk berbuka puasa Ramadan, kata penduduk dan anggota keselamatan tempatan kelmarin.

Pemberontak yang menaiki beberapa buah trak menembak bom roket (RPG) dalam serangan itu pada rumah di kampung Gajiganna ketika orang ramai berkumpul di dalam untuk makan malam, kata sumber itu kepada AFP.

“Boko Haram menyerang Gajiganna semalam dengan bom RPG dan membunuh 20 orang,” kata Babakura Kolo, anggota tentera anti-jihad yang disokong kerajaan.

“Empat belas orang cedera parah dan beberapa bangunan musnah dalam serangan itu.”

Penduduk yang cedera, Bukar Gaji mengatakan dari hospital bahawa isterinya terbunuh dan tiga anaknya cedera parah ketika bom meletup di rumah mereka.

Dia mengatakan bahawa pejuang menempatkan diri mereka di luar kampung dan melancarkan serangan RPG di rumah mereka sementara penduduk kebanyakannya berada di dalam rumah bersiap sedia untuk berbuka puasa.

Seorang penduduk bernama Adam Bura, mengatakan bahawa dia telah mengambil bahagian dalam pengebumian 20 orang yang terbunuh dalam serangan itu. Pengganas Boko Haram telah melakukan pemberontakan selama satu dekad di timur laut Nigeria yang
telah membunuh lebih daripada 36,000 orang dan mengusir sekitar 1.8 juta penduduk.

Gajiganna, yang terletak 50 kilometer di luar ibu negara wilayah Maiduguri, telah berulang kali menjadi sasaran. Namun kampung itu melihat serangan reda sejak Februari lalu ketika militan membunuh seorang askar dan merampas sebuah trak senjata dalam serbuan di sebuah pos tentera. – AFP