20 maut nahas bas di Tamil Nadu

NEW DELHI, 20 FEB – Sekurang-kurangnya 20 orang penumpang bas maut manakala ramai lagi cedera dalam nahas jalan raya di Tamil Nadu, India pada Khamis pagi.

Bas syarikat pengangkutan awam Kerala yang membawa 48 penumpang itu bertembung dengan sebuah lori, di daerah Tirupur, lapor media tempatan.

“Lori itu dikatakan hilang kawalan dan tidak pasti sama ada ia disebabkan pemandu mengantuk atau akibat tayar pecah. Lori itu kemudian masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bas milik Kerala Road Corporation,” kata seorang pegawai polis. Menurut seorang daripada mangsa yang terselamat, kejadian berlaku kira-kira 3.15 pagi. Keadaan jalan raya yang teruk dan cuai ketika memandu antara punca menyumbang kepada berlakunya nahas jalan raya di India. -Bernama

Rangka bas yang bertembung dengan lori berhampiran Avanashi, Tamil Nadu, India, kelmarin. Sekurang-kurangnya 20 maut dalam nahas tersebut manakala lebih 20 lagi cedera. – AP