20 mengaku bersalah berpesta di tempat pengasingan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Seramai 12 lelaki, lima wanita dan tiga remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Hukuman Jenayah Bab 22 kerana cuai yang berkemungkinan boleh merebakkan penyakit yang membahayakan nyawa.

Beberapa daripada tertuduh juga berdepan tuduhan tambahan di bawah Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Bab 27 kerana mengambil dadah terkawal dan Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah, Bab 27 kerana memiliki peralatan yang bertujuan untuk mengambil dadah terkawal.

Muhammad Dzulhelmi bin Zulkifli, Hezrin bin Sumin, Muhd Wafi Mahyuddin bin Muhd Jair, Ahmad Hafizan bin Sufian, Amirul Hafiz bin Amir Mahmood, Mohd Izzat bin Abd Rahman, Nur Hadi Ilhamsyah, Mohd Amiruddin bin Mohammad, Jorainie @ Ainie binti Jormasie, Abdul Hafiz bin Abdul Rahim, Mohd Azizan bin Mohd Marzuki, Mohd Amir Muqri bin Haji Awang Mohd Taha, Latifah Ali, Mohammad Mateen bin Abdullah Mohammad Cyrus, Qurratu’aini Bazlaa binti Azman, Malai Tsaqifah binti Haji Malai Yusri, Fatin Nabilah binti Azman dan tiga lagi remaja bawah umur ditangkap Pasukan Polis Diraja Brunei selepas mereka didapati berhimpun di sebuah bilik hotel pada 4 April 2020 dan awal pagi 5 April 2020 ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan melanggar garis panduan dan arahan yang diberikan Kementerian Kesihatan mengenai langkah berjaga-jaga termasuk penjarakan sosial dan mengehadkan perhimpunan.

Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Yusof menetapkan 13 Jun 2020 untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh dewasa dan 17 Jun 2020 ke atas tertuduh bawah umur.

Siasatan polis turut mendapati beberapa tertuduh juga mengambil rokok, alkohol dan dadah terkawal iaitu ganja dan ekstasi.

Polis merampas botol wiski kosong, rokok dan peralatan mengambil dadah sebagai barang bukti.

Dalam kejadian sekitar 1:15 pagi, dua anggota polis yang ditugaskan di hotel tersebut untuk menjaga kawasan pengasingan bagi mereka yang menjalani notis pengasingan diri untuk COVID-19 terdengar bunyi dan muzik kuat dari salah satu bilik hotel di tingkat 4 semasa melakukan pemeriksaan.

Sebaik memasuki bilik itu, beberapa tertuduh merasa cemas dan cuba melarikan diri dari bilik dengan melompat ke beranda bilik di tingkat bawah, tetapi berjaya ditangkap.

Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Norsuzanawati binti Pengiran Abas menghujahkan mengenai status kes COVID-19 ketika itu, di mana negara ini berdepan kes jangkitan setiap hari dan wabak ini masih menjadi kebimbangan negara.

Timbalan Pendakwa Raya seterusnya menekankan mengenai langkah berjaga-jaga termasuk arahan penjarakan sosial dan mengehadkan perhimpunan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan melalui televisyen, radio dan media sosial untuk dipatuhi orang awam bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Hujahannya turut merujuk titah khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 21 Mac 2020 yang meminta semua untuk bersatu dalam memerangi penularan wabak COVID-19, mengelakkan perhimpunan besar-besaran, memakai penutup mulut dan hidung dan sebagainya.

Namun, kesemua tertuduh secara terang-terangan mengabaikan apa yang ditekankan oleh Baginda Sultan dalam titah, dan mengabaikan peringatan yang dikeluarkan dalam sidang media.

Kesemua tertuduh tidak mempunyai alasan kukuh untuk mengadakan perhimpunan ini, hujah Timbalan Pendakwa Raya sambil menambah faktor-faktor yang memburukkan termasuk pengambilan alkohol dan dadah selain kehadiran remaja bawah umur di perhimpunan itu.

Pihak pendakwa berkata, kesalahan ini perlu ditangani dengan keras seperti yang dibenarkan undang-undang dan hukuman berbentuk pencegahan perlu dikenakan tambahan lagi lima daripada tertuduh merupakan anggota beruniform yang sepatutnya menjadi contoh.

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda di bawah Seksyen 269 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 jika disabitkan kesalahan.

Beberapa daripada tertuduh akan berdepan hukuman tambahan 10 tahun penjara dan denda $20,000 atau kedua-duanya, dan penjara tiga tahun dan denda atau kedua-duanya untuk kesalahan di bawah seksyen 6 (b) dan Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah, Bab 27, jika didapati bersalah.