Oleh Yusrin Junaidi, Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD), telah berjaya mengadakan Majlis Perasmian Program Pembangunan Eksekutif Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) bagi PPDB, di Bilik Persidangan ILIA, Aras Bawah, Bangunan ILIA, UBD.
Hadir selaku tetamu kehormat dan turut merasmikan majlis tersebut ialah Pengarah Pentadbiran Am dan Kewangan, PPDB, Awang Mohd Zulhilmi bin Haji Omar Ali. Seramai 20 orang pegawai kanan PPDB akan mengikuti program yang dirancang berjalan selama enam minggu sepenuh masa yang merangkumi pembelajaran secara teori.
Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan tetamu kehormat majlis, Doa Selamat dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai. Dalam ucapan beliau telah menyatakan bahawa kepimpinan merupakan salah satu komponen penting bagi sesebuah organisasi dalam mencapai objektif serta matlamat yang sama.
Kejayaan sesebuah organisasi sebahagian besarnya bergantung kepada keberkesanan pemimpin dalam mempengaruhi, menyokong serta memimpin warga kerjanya mencapai misi yang dihasratkan. Beliau percaya, program selama enam minggu ini akan dapat mempersiapkan dan melengkapkan peserta kursus dengan pengetahuan lanjutan yang diperlukan agar menjadi seorang pemimpin yang berkesan.
Program ini adalah hasil kerjasama PPDB dan ILIA, UBD yang diolah khusus mengikut kehendak dan keperluan pasukan bagi pegawai-pegawai pengurusan pertengahan berupa pengetahuan lanjutan mengenai dasar dan urus tadbir, pendedahan terhadap perlaksanaan dasar-dasar kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam mendokong hasrat negara untuk mencapai wawasan 2035 serta modul-modul kepimpinan dan pengurusan yang menjurus kepada nilai-nilai kefahaman Islam.