20 pekerja diiktiraf marsyal bomba

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Dengan matlamat untuk meningkatkan kemahiran bagi menangani insiden kecemasan dan kebakaran di tempat kerja, seramai 20 orang kakitangan Syarikat Massutera Engineering Sdn Bhd diiktiraf sebagai marsyal bomba oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, majlis penyampaian cenderahati telah diadakan di Balai Bomba Jerudong dengan wakil syarikat tersebut, Penyelaras Projek, Jimmy Chong Yoi menyampaikan cenderahati kepada Stesen Komander Balai Bomba Jerudong, ASFR Haji Hassan bin Haji Jamudin.

Turut hadir ialah Pegawai HSE Kanan, Renante Vegara Garcia, Pegawai HSE, Awang Muhammad Arif Yadiy bin Ramli dan Ketua Unit Perhubungan Awam & Teknikal Cawangan Operasi F, SO Aliman bin Haji Salleh.

Di kesempatan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan menawarkan program-program keselamatan seperti Taklimat Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mereka yang ingin untuk mengetahui aspek-aspek keselamatan dan mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api yang khusus.

ASFR Haji Hassan, Jimmy Chong, Renante Garcia, Awang Muhammad Arif Yadiy dan AO Aliman bergambar ramai selepas majlis penyampaian cenderahati yang berlangsung di Balai Bomba Jerudong, baru-baru ini. – Gambar serahan JBP