20 pelajar hadiri jerayawara BICTA

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Dengan tujuan mempromosikan pertandingan ICT di kalangan pelajar sekolah menengah, seramai 20 pelajar dari dua buah sekolah di seluruh negara telah menghadiri Jerayawara Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2020 yang bermula kelmarin di Kolej Siswazah Antarabangsa (KIGS), Kiulap.

Acara bermula dengan pembentangan yang disampaikan oleh Sekretariat BICTA 2020, Awang Mohd Jamil bin Haji Jalil, di mana beliau berkongsi wawasan tentang aktiviti-aktiviti anugerah yang telah disediakan untuk peserta, termasuk program BICTA. Awang Nohd Jamil menegaskan bahawa para peserta berpeluang untuk membangunkan produk siap sedia serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran perniagaan mereka melalui program tersebut.

“Fasilitator dan jurulatih BICTA telah dipilih dengan teliti daripada pelbagai bidang pakar industri untuk memberikan pandangan yang lebih holistik tentang cara-cara memperbaiki produk dari peringkat idea dan pengesahan kepada realisasi dan akhirnya pengkomersialan”, tambahnya.

Turut hadir di jerayawara berkenaan ialah Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, salah seorang ketua hakim BICTA 2020, yang berkongsi kriteria penghakiman di mana beliau menekankan bahawa kriteria penghakiman itu selari dengan piawaian dalam Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA) serta beberapa petua tentang apa yang akan dinilai oleh hakim sebagai mata (points) apabila peserta membuat produk mereka.

Acara berakhir dengan sesi perkongsian soal jawab dengan pelajar-pelajar dari Sekolah Nusa Laila Puteri dan Sekolah St. Margaret.

Acara tahunan BICTA dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pihak Berkuasa Industri Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB), juga disokong oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan DARe (Darussalam Enterprise).

Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu Kategori Sekolah, Kategori Tertiari (Tertiary) dan Kategori Industri ICT dengan pemenang-pemenang bagi setiap kategori masing-masing akan menerima hadiah wang tunai $3,000, $7,000 dan $10,000.