Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    20 pelajar terpilih sertai projek hidroponik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Penghasilan pertanian melalui tanaman hidroponik sangat bersesuaian untuk dicontohi hatta dalam skala kecil-kecilan di kawasan rumah, dan mungkin dapat mendorong kemahuan menjadikannya sebagai usaha pertanian yang berjaya.

    Sehubungan itu, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) pula bersedia menimbangkan bantuan modal bagi projek pertanian seumpama yang dilancarkan ini, kepada asnaf zakat yang mahu dan bersungguh-sungguh berusaha untuk mengangkat taraf hidup dan keluarga.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Projek One School, One Farm Mempromosikan Cara Hidup yang Mapan yang berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMRIPAHS) petang tadi.

    Projek diungkayahkan oleh para peserta Program Perkembangan Eksekutif Pegawai-pegawai Peringkat Pertengahan (EDPMMO) ke-32 dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, seramai 20 pelajar SUAMRIPAHS yang mempunyai minat dalam bidang pertanian hidroponik telah terpilih untuk mengikuti latihan selama enam bulan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum. Latihan berkenaan diharap akan dapat menanamkan semangat keusahawanan para pelajar melalui penjualan hasil-hasil tanaman hidroponik.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Projek One School, One Farm Mempromosikan Cara Hidup yang Mapan yang berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMRIPAHS) petang tadi. – Gambar oleh Yusrin Junaidi.
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa merasmikan Projek One School, One Farm yang berlangsung di SUAMRIPAHS kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama mendengar perkongsian maklumat dan demonstrasi mengenai pertanian mapan menggunakan bahan-bahan terpakai daripada penuntut-penuntut.

    Majlis pelancaran tersebut turut memuatkan sesi perkongsian maklumat dan demonstrasi mengenai pertanian mapan menggunakan bahan-bahan terpakai daripada penuntut-penuntut IBTE.

    Dalam menjaga kesejahteraan semua pihak acara ini diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan semua yang hadir dikehendaki menjalani ujian pantas antigen (ART) serta menjaga langkah pencegahan dengan mengamalkan penjarakan sosial dan pemakaian sungkup muka sepanjang masa.

    Mengulas mengenai projek tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berkata, beliau difahamkan bahawa matlamat utamanya adalah bagi mendorong ke arah mewujudkan satu program kebangsaan berjangka panjang yang mendukung usaha negara mencapai jaminan kecukupan bekalan makanan yang mapan dengan nilai keusahawanan.

    “Tentu sahaja matlamat inisiatif seperti ini akan disambut baik untuk digalakkan dan dikembangkan secara terancang yang teratur.

    “Ia berkehendakkan dorongan, sokongan dan dukungan yang berterusan daripada pihak-pihak berkenaan dan berkepentingan, pada yang sama mendukung hasrat negara untuk menjamin kecukupan bahan makanan, dalam konteks projek yang akan dilancarkan ini, ialah bahan hasil sektor pertanian,” ujarnya.

    Menurut beliau lagi, SUAMRIPAHS sangat beruntung dipilih menjadi titik permulaan bagi projek seumpamanya, khasnya melibatkan para guru dan pelajar.

    Pada majlis pelancaran tersebut, Yang Berhormat Pehin telah menyempurnakan penyerahan lima set hidroponik kepada SUAMRIPAHS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...