Tuesday, January 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 pelombong terperangkap berjaya diselamatkan

    BEIJING, 17 DIS – Anggota menyelamat hari ini bergegas untuk mencari seorang pekerja terakhir yang terperangkap di bawah lombong arang batu yang dibanjiri selepas menyelamatkan 20 yang lain, ketika pihak berkuasa berikrar akan bertindak keras ke atas operasi haram yang telah meningkat di tengah kenaikan harga untuk bahan api fosil.

    Sekumpulan 21 pelombong terperangkap apabila lombong dibanjiri lewat Rabu di bandar Xiaoyi, utara wilayah Shanxi, mendorong usaha menyelamat besar-besaran dilancarkan. Ratusan anggota menyelamat telah dihantar ke lombong di mana tiga pam digunakan untuk mengeluarkan air.

    Televisyen CCTV berkata pintu masuk yang sempit dan tersembunyi ke lombong haram itu telah menghambat usaha menyelamat, selain kekurangan peta tapak berkenaan.

    Anggota menyelamat berjaya mengeluarkan 20 pelombong ke permukaan lewat petang tadi ketika usaha untuk menyelamat seorang lagi diteruskan, lapor media negeri.

    Televisyen menunjukkan barisan anggota menyelamat yang memakai topi keselamatan membawa pelombong menggunakan pengusung ke ambulans yang menunggu.

    Tujuh suspek telah ditahan berhubung kemalangan itu dan polis berkata mereka sedang mencari yang lain, termasuk pemilik lombong, dilaporkan seorang penduduk kampung tempatan yang melarikan diri selepas kemalangan itu. – AFP

    Anggota menyelamat memindah seorang pekerja lombong dari lombong arang batu dibanjiri di bandar Xiaoyi, utara wilayah Shanxi kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda