Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Bagi meringankan beban orang yang kurang berkemampuan, Kumpulan Amal Jariah Brunei Darussalam telah menghulurkan bantuan berupa barang makanan asasi kepada 20 orang penduduk yang terpilih di Kampung Jerudong, hari ini.
Majlis penyampaian bantuan berkenaan berlangsung di rumah Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang dan turut dihadiri oleh ahli-ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong B.
Bantuan berkenaan merupakan aktiviti berterusan kumpulan dalam membantu mereka yang memerlukan.
Para penerima berkata, kumpulan berkenaan telah banyak membantu dengan menghulurkan bantuan berupa barang makanan asasi dan mereka turut mendoakan semoga para penderma sentiasa dimurahkan rezeki, panjang umur dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
Kumpulan Amal Jariah Brunei Darussalam ditubuhkan antara lain bermatlamat untuk membantu orang yang kurang berkemampuan di negara ini, khususnya penduduk Kampung Jerudong.