20 suspek serangan diheret ke mahkamah

ADDIS ABABA, 26 Jun – Seramai 22 suspek, termasuk timbalan ketua suruhanjaya polis Addis Ababa, hadir di mahkamah di ibu negara Etiopia, berkaitan dengan kes serangan bom tangan pada perhimpunan yang dihadiri Perdana Menteri Abiy Ahmed, lapor syarikat penyiaran FANA.

Bagaimanapun, laporan tidak memberikan butiran lanjut.

Serangan selepas Abiy selesai berucap di Meskel Square di Addis Ababa itu berlaku pada Sabtu dan menyebabkan dua orang terbunuh dan ramai lagi cedera.

Menurut FANA, suspek yang berada di mahkamah termasuk timbalan pesuruhjaya polis Girma Kassa.

Dia antara sembilan pegawai polis yang ditangkap kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan terdapatnya bantahan terhadap pembaharuan yang diperkenalkan Abiy sejak menjadi perdana menteri pada April.

Antara pembaharuan dilakukan ialah membebaskan pembangkang yang dipenjarakan, melonggarkan campur tangan kerajaan terhadap ekonomi dan memperbaiki hubungan dengan Eritrea. – Bernama