Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Seramai 20 penerima telah menerima sumbangan berupa keperluan harian dan wang tunai di bawah Projek Jalinan Kasih yang dilaksanakan oleh Bahagian Rancangan Radio, Radio Televisyen Brunei (RTB) buat kali ke-14.
Sumbangan diterima oleh lima penerima dari Daerah Brunei dan Muara, lima penerima dari Daerah Tutong, lima penerima dari Daerah Belait dan lima penerima dari Daerah Temburong.
Penerima-penerima berkenaan adalah terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas, orang-orang yang berkeperluan khas, saudara-saudara baru dan individu-individu yang kurang berkemampuan.
Bagi projek kali ini, sebanyak enam buah syarikat tempatan telah ikut serta memberikan sumbangan kepada para penerima yang terpilih di mana syarikat-syarikat berkenaan ialah Hamintan Group Brunei, TGT Sdn Bhd, Bahagia Distributors Sdn Bhd, BMC Food Industries Sdn Bhd, German Shop Brunei dan Sim Kim Huat Department Store.
Pelaksanaan projek itu adalah bertepatan dengan slogan RTB iaitu, ‘Sentiasa Bersama Biskita’, yang bukan hanya terbatas melalui radio dan televisyen tetapi juga secara bersemuka dengan masyarakat di keempat-empat daerah.
Berikutan penularan jangkitan COVID di Negara Brunei Darussalam, rombongan Projek Jalinan Kasih telah mengambil langkah-langkah waspada seperti melakukan penjarakan fizikal, mengehadkan jumlah keramaian ahli jawatankuasa kerja dan memendekkan masa bagi penyerahan sumbangan.
Projek Jalinan Kasih merupakan tanggungjawab sosial RTB dalam sama-sama mendukung hasrat kerajaan bagi mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang penyayang dan prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik serta memerlukan bantuan.