20 terpilih menang cabutan bertuah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Milimewah Group kelmarin telah mengadakan cabutan bonus keempat daripada Kempen Cabutan Bertuah Spend & Win di Jaya Hypermart, Gadong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Milimewah Group, penyertaan bermula dari 1 hingga 31 Januari 2021 layak menyertai cabutan bonus itu di mana seramai 20 orang pemenang bertuah telah dipilih.

Pemilihan para pemenang bertuah berkenaan dilaksanakan oleh Pengarah Milimewah Group, Dayang Rosmahwati binti Haji Buntar, Pengurus Besar Milimewah Group, Cheong Hoy Loon dan Penolong Pengurus Besar Milimewah Group, Benny Ng Kok Wei.

Seramai 20 orang pemenang bertuah telah dipilih pada cabutan bertuah itu dan akan membawa pulang hadiah berupa baucar membeli-belah bernilai $100 dan pulangan penuh (refund) bagi resit-resit pembelian, dengan sebanyak $729.29 telah dipulangkan kepada para pemenang.

Kenyataan menjelaskan cabutan bonus berkenaan merupakan cabutan keempat daripada lapan cabutan bonus Kempen Spend & Win di mana sehingga hari ini, seramai 80 orang pemenang bertuah telah masing-masing membawa pulang hadiah baucar membeli-belah bernilai $100 serta pada masa yang sama, keseluruhannya sebanyak $2,370.86 resit yang menang telah dipulangkan kepada para pemenang.

Kenyataan menyatakan bahawa resit-resit yang menang itu juga, akan dimasukkan ke dalam acara cabutan utama di mana para pelanggan mempunyai peluang untuk memenangi hadiah baucar membeli-belah sehingga $4,000.

Para pelanggan masih berpeluang untuk menyertai kempen berkenaan dengan membuat pembelian dan mengisi borang penyertaan di mana-mana cawangan Jaya Hypermart, Milimewah Department Store, Utama Grand Superstore atau M-Porium Jaya Department Store bermula sekarang hingga 31 Mei nanti.

Cabutan bonus seterusnya akan diadakan pada 13 Mac dan cabutan utama akan diadakan pada 11 Julai nanti.

Pihak pengurusan dan kakitangan Milimewah Group bergambar ramai pada majlis cabutan bonus yang diadakan di Jaya Hypermart, Gadong, kelmarin. – Gambar serahan Milimewah Group