20 warga BIBD ikut Kursus Marsyal Bomba

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Seramai 20 orang pegawai dan kakitangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba yang berlangsung selama tiga hari iaitu 1 hingga 3 Mac lalu di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, kursus berkenaan dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A, JBP.

Para peserta kursus diberikan pendedahan kepada pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran, mengetahui akan tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara sistematik, tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api dengan cara yang betul serta tatacara untuk menyelamatkan diri dari terperangkap dalam bangunan bila berlakunya kebakaran.

Para peserta juga mengadakan lawatan ke Unit Operasi Wanita bagi mengetahui fungsi dan peranan sebagai bomba wanita serta mengenali perkakas-perkakas dan peralatan bomba.

Kenyataan juga menyatakan bahawa JBP juga menyediakan program seperti Taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

Kenyataan turut menyatakan bahawa jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Peserta kursus diberikan pendedahan kepada tatacara penggunaan alat pemadam api dengan cara yang betul. – Gambar serahan JBP