200 burung mati akibat flu H5N1

NEW DELHI, 14 NOV – Kira-kira 200 ekor burung telah mati akibat influenza avian di negeri Rajasthan, barat India beberapa hari lalu, umum pegawai jabatan perhutanan hari ini.

Penyakit itu telah dikesan dalam burung-burung Kuranja atau burung jenjang Demoiselle, yang ditemui di beberapa bahagian Rajasthan.

“Influenza avian dikhuatiri merebak kepada ternakan,” tambah pegawai itu.

Menurut Pegawai Perhutanan Daerah (DFO), Ramesh Kumar Malpani, sampel beberapa bangkai burung telah dihantar ke Institut Keselamatan Tinggi Penyakit Haiwan Negara (NIHSAD) berpangkalan di bandar Bhopal di tengah negeri Madhya Pradesh.

“Ujian daripada sampel di NIHSAD mengesahkan kewujudan virus influenza avian H5N1,” kata Malpani menerusi telefon.

Memandangkan ancaman penularan influenza avian global dan kebimbangan mengenai pandemik manusia, kerajaan persekutuan India telah menyediakan pelan tindakan pada 2005 untuk menangani situasi seumpamanya.

Rancangan itu terbukti sangat berguna untuk membendung dan mengawal penularan pertama influenza avian di negeri-negeri Maharashtra, Gujarat dan Madhya Pradesh. – Xinhua