Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Seramai 200 orang belia telah menghadiri Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2018, yang membuka tirainya hari ini, bertempat di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong, di sini, pagi ini.
Hadir menyempurnakan majlis pelancaran konvensyen dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada para penyokong, penaja dan mentor konvensyen ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Abdul Mokti bin Haji Mohammad Daud selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ke majlis pelancaran tersebut ialah Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii dan Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.
Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2018 yang berlangsung selama tiga hari ini adalah yang pertama kalinya diadakan dan merupakan anjuran Al-Huffaz Management dan Generasi Berkarih yang dipimpin oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.
Ia juga antara lain bertujuan untuk menyatukan agensi-agensi yang berkepentingan dalam pembangunan belia serta memberikan platform kepada para peserta untuk melaksanakan projek atau program yang mampu mendukung untuk mencapai hasrat Wawasan Brunei 2035.
Majlis perasmian pada pagi itu, dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Timbalan Pengerusi Bersama, Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan.
Yang Berhormat Awang Iswandy dalam ucapan alu-aluannya berkata Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2018 adalah sebuah perkumpulan belia-belia di Negara Brunei Darussalam, bersama pihak-pihak yang berkepentingan.
“Ia adalah untuk sama-sama memobilisasikan para belia untuk mempunyai perasaan kepunyaan serta memainkan peranan aktif di dalam mencapai Wawasan Brunei 2035,” katanya.
Menurut beliau lagi, konvensyen ini dihasratkan untuk menyokong Wawasan Brunei 2035 yang mempunyai tiga matlamat utama, iaitu Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya; Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi; serta Ekonomi Dinamik dan Berdaya Tahan.