200 pelajar STPRI hadiri bengkel alam sekitar

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Brunei LNG Sdn Bhd dan Projek Big BWN telah melaksanakan Bengkel Pendidikan Perubahan Iklim dan Alam Sekitar yang pertama dengan melibatkan lebih daripada 200 orang pelajar Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), pada hari ini, bertempat di sekolah berkenaan.

Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengetua (Akademik), STPRI, Dayang Nurjalina binti Jaafar, dan wakil dari Setiausaha Perubahan Iklim Brunei, Kementerian Tenaga.

Pegawai Hal Ehwal Alam Sekitar Brunei LNG, Dayang Alinayati binti Haji Perudin berkongsi dengan para pelajar tentang usaha Brunei LNG untuk menjadi mesra alam selaras dengan wawasannya menjadi penjaga alam sekitar.

Dayang Alinayati mengatakan bahawa dalam usaha untuk melindungi alam sekitar, Brunei LNG mematuhi peraturan alam sekitar tempatan dan juga sistem pengurusan alam sekitar yang teguh.

Brunei LNG bekerja rapat dengan pengawal selia (Kementerian Tenaga dan SHENA) dan pihak berkepentingan (masyarakat Lumut Liang) bagi memastikan amalan terbaik alam sekitar dari seluruh dunia dipraktikkan.

Dayang Alinayati juga berkongsi bahawa penglibatan kakitangan dan rakan niaga LNG Brunei dalam kempen pendidikan hijau telah meraikan hari-hari antarabangsa alam sekitar seperti ‘Earth Hour’ dan Hari Lautan Sedunia, kempen kitar semula dan kempen ‘carpool’.

Bengkel itu adalah sebahagian daripada program aktiviti kokurikulum bagi STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik) Outreach pada tahun ini di bawah STEP (Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar) di bawah Kementerian Pendidikan.

Dengan matlamat untuk mewujudkan kesedaran dan pemahaman terhadap perubahan iklim dan pendidikan alam sekitar, bengkel tersebut memainkan peranan penting untuk memulakan perbualan dengan belia supaya membuat perubahan yang boleh menyumbang kepada keselamatan alam sekitar. Program tersebut merupakan hasil kerjasama kumpulan ‘storytelling’ tempatan Medley House Productions yang bertujuan mewujudkan satu sesi penuh aktiviti menarik bagi memahami kesan perubahan iklim dan impaknya ke atas dunia. Ia mempunyai sasaran untuk mencapai 10 sekolah rendah dan menengah yang berbeza sepanjang tahun di bawah program Kementerian Pendidikan.

Antara pelajar yang hadir pada bengkel berkenaan.