Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    200 polis keracunan selepas makan kari ikan

    NEW DELHI, 2 April – Kira-kira 200 anggota polis separa tentera India telah dimasukkan ke hospital, disyaki akibat keracunan makanan selepas menikmati hidangan makan malam di kem latihan, selatan Kerala, kata polis hari ini.

    Anggota kadet latihan dan pasukan keselamatan Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (CRPF) mengadu cirit-birit dan muntah selepas makan nasi dan kari ikan di kem latihan di daerah Ernakulam, malam tadi.

    Ketua Polis Ernakulam, Ashok Kumar memberitahu AFP, sebahagian besar pesakit sudah dibenarkan keluar tetapi beberapa anggota lain masih menjalani rawatan dan beransur pulih.

    “Pihak berkuasa sudah melancarkan siasatan penuh berhubung kejadian ini,” katanya.

    Insiden keracunan makanan bukan sesuatu yang luar biasa di kawasan berkenaan dan pihak polis sebelum ini membuat aduan terhadap kualiti makanan yang dihidangkan kepada mereka.

    Bulan lalu, 32 pengawal sempadan di barat Rajasthan jatuh sakit, juga disyaki akibat keracunan makanan.

    Januari lalu, kerajaan mengarahkan siasatan menyeluruh apabila seorang pengawal memuat naik rakaman video di atas talian mengenai roti hangus yang dihidangkan kepada anggota pasukan keselamatan.

    Pengawal itu menuduh pegawai atasan terbabit menyeleweng makanan yang diperuntukkan kepada mereka, sekali gus menimbulkan kemarahan di kalangan pengguna media sosial, apatah lagi selepas beberapa anggota tentera turut memuat naik aduan yang sama.

    CRPF ialah pasukan polis separa tentera yang mengkhusus kepada operasi memerangi pengganas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda