Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    200 sertai majlis ke arah menjiwai Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Lebih kurang 200 orang telah menyertai Majlis ke Arah Menjiwai Al-Quran yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar sempena World Quran Hour, hari ini.

    Majlis berkenaan adalah bagi mendukung hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, iaitu sebuah kempen penyatuan ummah seluruh dunia yang bertujuan untuk menggalakkan setiap individu berinteraksi dengan Al-Quran melalui baca, faham dan amal.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong selaku penaung 1 Jawatankuasa Takmir MRSB.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa Al-Quran beramai-ramai dan diikuti dengan tadabbur Surah As Sajadah yang dibacakan oleh pensyarah dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Ahmad Baha Mokhtar dan penolong pensyarah di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan.

    Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan doa khas majlis dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebelum Selawat Tafrijiyyah dan dikir serta diakhiri dengan solat Fardu Maghrib dan berbuka puasa.

    Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian derma kepada 31 orang anak yatim di kampung berkenaan dan sekitarnya yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Gerakan #QuranHour merupakan kempen berimpak tinggi yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Malaysia sebagai kempen global mendorong setiap individu untuk membawa, memahami, mengamalkan nilai-nilai Al-Quran dalam kehidupan seharian dan memberi inspirasi buat ummah membentuk karakter Muslim sejati berdasarkan kerangka fikir Al-Quran.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan turut menyertai majlis di MRSB, kelmarin.
    Antara yang hadir pada acara menjiwai Al-Quran tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...