Friday, October 7, 2022
21.8 C
Brunei

200 terima pingat jasa pahlawan negara

-

KOTA KINABALU, 6 SEPT – Seramai 200 anggota dan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah hari ini menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) sebagai mengenang jasa serta bakti mereka dalam memelihara keamanan negara.

Penyerahan pingat kepada 100 anggota polis lain-lain pangkat dan 100 pesara itu disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah dalam satu majlis istiadat penganugerahan di sini.

Richard Ampawi Kimbin, 72, ketika ditemui Bernama menzahirkan perasaan teruja dan berterima kasih kerana terpilih sebagai antara penerima pingat meskipun telah lama bersara.

Beliau yang pernah bertugas sebagai polis hutan bagi mencari saki-baki komunis di Sarawak pada tahun 1971 juga terharu dengan pengiktirafan itu yang disifatkannya cukup bermakna.

“Pingat ini mempunyai makna besar kepada saya. Apabila anak cucu melihat pingat ini nanti dan bertanya mengenainya, saya akan menceritakan kepada mereka pengalaman serta peristiswa menarik sepanjang saya bertugas sebagai polis,” katanya yang berasal dari Tuaran.

Richard, yang mempunyai lima anak serta 10 cucu, turut menasihati generasi muda Malaysia khususnya di Sabah untuk terus mempertahan keamanan dan kesejahteraan negara selain tidak takut atau malu menyertai pasukan polis. – Bernama

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah (kanan) menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada seorang penerima dalam satu majlis di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu kelmarin. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Sydney siap sedia hadapi banjir besar

SYDNEY, 6 OKT – Bandar paling ramai penduduk di Australia, Sydney, mencatatkan rekod hujan tahunan selama 70 tahun hari ini selepas satu tahun memperingati...
- Advertisment -