200 Tinggalkan Kabul, pertama selepas pengunduran AS

KABUL, 9 SEPT – Sekitar 200 penumpang, termasuk warga Amerika Syarikat (AS) akan meninggalkan lapangan terbang Kabul hari ini, dalam penerbangan pertama membawa warga asing keluar dari ibu negara Afghanistan sejak pemindahan diketuai AS berakhir pada 30 Ogos lalu.

Penerbangan ke Doha bersiap sedia berlepas ketika Taliban mengukuhkan kuasa ke atas Afghanistan, kurang sebulan selepas mereka mara ke Kabul dan menggulingkan bekas presiden Ashraf Ghani.

Pada petang ini, sebuah pesawat Qatar Airways bersedia membawa keluar 200 penumpang dari lapangan terbang Kabul – yang pertama sejak pemindahan udara tergesa-gesa dan huru-hara bagi 120,000 orang berakhir dengan pengunduran AS.

Tidak jelas siapa yang menganjurkan penerbangan itu, namun rakaman disiarkan oleh TV Al Jazeera menunjukkan keluarga, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua menunggu bersama bagasi mereka di lapangan terbang.

“Kami menghargai jasa orang Qatar,” seorang penumpang memberitahu saluran berita itu, menyatakan dia adalah warga Kanada.

Jauh dari lapangan terbang, Taliban kelihatan membanjiri jalan-jalan di Kabul ketika pejuang bersenjata – termasuk pasukan khas berpakaian tentera – berkawal di setiap ceruk jalan dan mengawasi pos pemeriksaan, kata wartawan AFP, selepas kerajaan Taliban mula berfungsi kelmarin.

Meskipun kebanyakan warga Afghan terdesak meninggalkan negara kerana bimbang tindakan balas daripada Taliban, kumpulan itu bagaimanapun telah pun berikrar akan menjalankan pemerintahan lebih sederhana berbanding pemerintahan kerasnya pada 1996-2001.

Walau bagaimanapun, ia telah memberi isyarat jelas bahawa ia tidak akan bertoleransi dengan bantahan, bertindak menyuraikan bantahan wanita Afghanistan beberapa hari lalu. – AFP

Seorang kakitangan keselamatan Qatar (dua, kiri) dan pejuang Taliban berkawal ketika penumpang menaiki pesawat Qatar Airways di lapangan terbang Kabul, 9 Sept. Seramai 200 penumpang termasuk warga AS meninggalkan Kabul menaiki pesawat itu, yang pertama membawa warga asing keluar dari ibu negara Afghanistan selepas pemindahan diketuai AS berakhir pada 30 Ogos lalu. – AFP