2,000 pelancong gaul ‘lou sang’ sepanjang 60m

LUMUT, 10 Feb – Lebih 2,000 pengunjung termasuk pelancong asing tidak melepaskan peluang menggaul ‘lou sang’ atau ‘yee sang’ di atas meja sepanjang 60 meter pada program ‘Lou Sang Terpanjang di Perak’ di Marina Island, di sini malam tadi.

Program anjuran sebuah resort di sini bersempena sambutan Tahun Baharu Cina itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Seorang pelancong Amerika Syarikat, Barbera Cole, 65 yang menyertai acara itu berkata dia tidak menyangka sambutan Tahun Baharu Cina diraikan oleh seluruh masyarakat Malaysia berbilang kaum yang bersama-sama menikmati hidangan tradisional kaum Cina tersebut.

“Makanan ini sangat menarik dan tidak ada di negara saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada program itu.

Lou sang merupakan juadah tradisional masyarakat Cina yang dihidangkan sebagai pembuka selera serta dianggap sebagai simbol penyatuan dan kemurahan rezeki yang akan diterima sepanjang tahun itu.

Orang ramai berpeluang mengaul Yee Sang terpanjang di Perak yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di jeti Marina Island, kelmarin. – Bernama

Seorang lagi pengunjung, Mamat Zainal, 30 berkata itu adalah kali pertama dia menggaul dan menikmati lou sang.

“Sebelum ini saya cuma tengok dalam televisyen dan saya rasa macam biasa saja (menggaul lou sang), tetapi rupanya ia sangat seronok dan saya harap dapat menikmatinya lagi tahun depan,” katanya yang berasal dari Pahang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Marina Island Resort Ding Mei Looi berkata pihaknya tidak menyangka majlis tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai termasuk pengunjung dari luar negara.

Ding berkata sebanyak 20 pekerja terlibat dalam menyediakan makanan tersebut.

“Kita berasa terharu dengan sambutan di luar jangkaan ini dan berhasrat untuk membuat lou sang lebih panjang sehingga 200 atau 300 meter pada tahun depan,” katanya. – Bernama