2018 tahun sukar Ronaldo

LISBON, 21 OGOS – Cristiano Ronaldo memberitahu televisyen Portugal “2018 adalah tahun paling sukar buat dirinya secara peribadi.”

Ronaldo berdepan tuduhan rogol pada September tahun lalu apabila bekas model, Kathryn Mayorga mendakwa bintang Juventus itu menyerangnya secara seksual di hotel Las Vegas pada 2009.

Bagaimanapun, mahkamah di Nevada pada Jun lalu mengetepikan kes itu tetapi tidak dinyatakan sama ada Ronaldo bersetuju dengan penyelesaian di luar mahkamah.

Dia menafikan jenayah itu walapun dilaporkan dia membayar Kathryn $375,000 sebagai penyelesaian awal.

“Apabila orang mempersoalkan maruah anda, ia menyakitkan,” katanya awal pagi tadi. “Ia sangat pedih terutama apabila anda mempunyai keluarga besar, isteri dan anak yang cerdik dan tahu banyak perkara.

“Ini kes yang saya sangat tidak selesa tetapi sekali lagi terbukti saya tidak bersalah dan membuatkan saya bangga,” kata bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu. – AFP

Ronaldo meninggalkan padang ketika peminatnya menyerbu selepas aksi persahabatan Juventus A dan Juventus B di Villar Perosa tamat pada 14 Ogos lalu. – AFP