2020 Sudah musnah, 2021 kini menanti

NEW YORK – Tahun ini sepatutnya merupakan tahun di mana Boysie Dikobe kembali aktif, seorang penari Afrika Selatan yang sembuh setelah menjalani pembedahan pinggul keduanya dan bersiap sedia untuk naik semula di atas pentas apabila koronavirus mula melanda.

Dikobe, penari berusia 29 tahun yang membuat persembahan bersama rombongan penari balet ke serata dunia, berkata tanggapan pertamanya adalah “Tahun 2020 sudah dibatalkan.”

Sedangkan ia baru saja mencecah pertengahan tahun, Dikobe adalah salah seorang daripada ahli koir global yang berharap tahun 2020 sampai ke penghujungnya. Tiada acara Olimpik, tiada majlis penganugerahan, perkahwinan, perkhemahan musim panas, majlis tamat pengajian. Tiada apa yang dinanti-nantikan selain rancangan Netflix atau hobi baharu menanam daun bawang atau membuat roti.

Kini semuanya mengenai tahun 2021, tahun di mana segalanya atau mungkin saja tiada apa-apa yang akan berlaku.

Pandemik koronavirus telah membawa perubahan besar ke atas hampir semua aspek kehidupan kita. Bagaimana kita hidup, di mana kita tinggal, di mana kita bekerja, tugasan yang kita lakukan, apakah maknanya untuk menjadi seorang kanak-kanak, makna sebuah keluarga, apa yang penting. Satu ketika dunia telah tergendala, membuatkan ramai yang tertanya-tanya “apakah tujuan saya? Di manakah saya sepatutnya berada?”

Gambar fail bertarikh 10 Julai 2020, menunjukkan karyawan Jimmy Baptiste mengerjakan mural di Ottawa. Tahun 2020 baru saja sampai ke pertengahan. – AP
Papan tanda bertulis ‘Batalkan rancangan, bukan kemanusiaan’ di Los Angeles. Mural dengan tema-tema mengenai koronavirus mula kelihatan secara meluas di dinding-dinding bandar California. – AP
Gambar fail bertarikh 31 Mac 2020 menunjukkan seorang lelaki berjalan melintasi papan jam kiraan hari untuk Olimpik Tokyo 2020 dan Paralimpik di Tokyo. – AP

Itulah yang dialami sendiri oleh Dikobe semasa menjalani pengasingan diri di dalam apartmen kecilnya di New York, memikirkan mengenai masa depannya baik mengenai perkara peribadi mahupun profesional. Adakah dia akan kembali ke atas pentas lagi, atau bersara sebelum datangnya peluang? Semakin dia berfikir mengenainya, semakin dia mendapati bahawa dirinya berfikir “2020 tidak dibatalkan, sebenarnya ia membuka mata.”

Leslie Dwight, penulis berusia 23 tahun, memikirkan hal yang sama di dalam puisi hasil nukilannya sendiri yang banyak dikongsi melalui media sosial kira-kira seminggu selepas tarikh kematian George Floyd di tangan anggota polis Minneapolis pada 25 Mei. “2020 tidak dibatalkan, malah, merupakan tahun terpenting,” tulisnya.

Namun kenapakah kita mengatakan benda-benda seperti ‘2020 dibatalkan’ dan ‘tahun baharu, saya yang baharu’? Pakar-pakar yang mengkaji kelakuan manusia mengatakan keinginan manusia untuk menetapkan kegagalan, harapan dan impian dengan tempoh waktu seperti kalendar tahun mempunyai hubungan dengan ikatan rapat kita bersama rutin.

“Kerana kita terlepas musim bunga, musim panas bukanlah musim panas kerana ia hanya datang setelah musim bunga yang lengkap,” kata Stuart Patterson, pengerusi Shimer Great Books School di North Central College.

“Satu-satunya peluang untuk membetulkannya adalah dengan kedatangan musim bunga seterusnya. Semua yang kita lakukan tahun ini akan menjadi kurang signifikan kerana ketiadaan urutan yang sepatutnya.” Ini seperti ketika Hamlet mengatakan “masa telah menjadi huru-hara,” ujar Patterson.

Bagaimanakah kita mengukur masa setahun, satu persoalan mengenai perjalanan masa yang telah dijadikan sebuah lagu di muzikal Broadway ‘Rent’? Dengan musim, mercu tanda, ritual, acara. Jadi apabila masa setahun telah kehilangan faktor-faktor tersebut, manusia terasa kehilangan dan menaruh harapan pada masa hadapan untuk mengurus jangkaan, kata ahli-ahli psikologi dan saintis sosial.

Setiap tahun kalendar membawa satu pusingan harapan. Januari ialah masa di mana kita akhirnya komited untuk berdiet, berhenti merokok, menjadi seorang yang kita selalu inginkan. Kita percaya dalam kuasa perubahan dan janji kepada diri sendiri, ‘ini adalah tahun kita,’ seperti yang diujarkan oleh seorang pengunjung pesta Tahun Baharu.

Sesetengah orang sudah menyerah kalah pada penghujung bulan Januari, manakala cita-cita yang lainnya berterusan untuk beberapa bulan lagi. Di bulan April, ramai yang menumpukan perhatian mereka pada musim panas. Bulan November, kebanyakan sudah menyerah kalah, berjanji bahawa tahun seterusnya akan menjadi tahun mereka.

Walau bagaimanapun, harapan itu tidak akan pernah lenyap sepenuhnya. Ia hanya diatur semula dan difokuskan kembali dengan matlamat baharu dan kembali berkobar-kobar. “Harapan” tulis Emily Dickinson, “mempunyai sayap.” Jika bukan kerana harapan, kenapa data menunjukkan sebahagian besar daripada 6,253 orang responden kaji selidik WeddingWire baru-baru ini telah menundakan perkahwinan mereka ke tahun hadapan, dengan hanya 7 peratus membatalkannya? Perkahwinan adalah berbeza daripada percutian, bagi ramai orang ia merupakan acara sekali dalam seumur hidup. Oleh yang demikian tumpuan yang lebih besar dibuat demi menjadikannya sesuatu yang istimewa.

Seperti jutaan pasangan lainnya yang bercadang untuk berkahwin musim panas ini, Kerry Anne Perkins dan Michael Gordon berasa hampa dengan ketibaan bulan April. Mereka sedar bahawa mereka terpaksa membatalkan perkahwinan impian mereka pada hujung minggu Hari Peringatan, yang menandakan tahun kelima pasangan dari Philadelphia itu mula-mula bertemu.

“Setiap hari hati terasa semakin berat,” Perkins mengimbau kembali, dia memberitahu betapa luluhnya hatinya kerana tidak sanggup membatalkan majlis perkahwinan yang telah dirancang oleh mereka.

Pada 6 Jun lalu mereka akhirnya berkahwin dalam majlis kecil-kecilan. Ketika demonstrasi Black Lives Matter mula melanda perkarangan Logan Square, Philadelphia, gambar pasangan tersebut berpegangan tangan dengan tangan yang lainnya diangkat bersama ribuan penunjuk perasaan yang lain telah tular.

“Kami adalah sekadar simbol kepada sesuatu yang diperlukan oleh dunia, terutama pada tahun 2020,” kata Perkins. “Dengan kehadiran pandemik dan perubahan-perubahan yang berlaku dan benda-benda yang kita dengar dan lihat, orang ramai memerlukan harapan. Orang ramai perlukan kasih sayang. Dan orang ramai perlu bersatu.”

Sementara Gordon tahu bahawa mereka bernasib baik, dia memberi nasihat kepada orang lain yang membuat perancangan. Tarik nafas, fikirkan mengenai apa yang paling penting dan cari apa yang istimewa. “Dalam fikiran saya, ia harus menjadi semakin baik,” ujar Perkins. “Saya mempunyai harapan sepenuhnya. Saya rasa tahun 2021 akan menjadi tahun kebangkitan semula.”

Deborah Serani, ahli psikologi di New York, berkata harapan telah banyak menghampakan ramai orang pada tahun ini, namun akan membantu kita untuk berhadapan dengan pandemik dan terus hidup. “Harapan” katanya, “memerlukan kita untuk melihat pada situasi masa sekarang dan menerima seadanya, dan merancang untuk memperbaikinya.”

Tiada siapa yang tahu apakah yang akan dibawakan oleh 2021. Tiada siapa yang tahu apakah yang akan menjadi ‘normal baharu’. Adakah majlis-majlis perkahwinan akan menjemput setiap kenalan pasangan pengantin, stadium yang penuh, lapangan konsert dengan ribuan yang hadir untuk menyanyi bersama? Adakah Olimpik Musim Panas 2021 akan berlangsung? Adakah majlis-majlis penganugerahan akan kembali diadakan? Adakah kita akan peduli? Tiada jawapan yang jelas untuk kesemua itu. Namun apa yang ada adalah harapan. – AP