Oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Mengukuhkan hubungan antara rakyat serta pertukaran kebudayaan, 2020 akan menjadi tahun pelancongan China-Brunei Darussalam yang merupakan satu lagi acara penting bagi kedua-dua buah negara.
Tahun lalu, pelancong dari China mencecah 65,563 orang dan telah menjadi sumber pelancongan terbesar di Brunei. Dengan tahun pelancongan China-Brunei Darussalam tahun depan, jumlah berkenaan mungkin menjadi lebih besar dan akan terdapat lebih banyak pertukaran.
Perkara berkenaan ditekankan oleh Duta Besar Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dalam taklimatnya pada Dialog Media Kedutaan China yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.
Tahun 2020 sebagai Tahun Pelancongan China-Brunei telah diumumkan semasa mesyuarat dua hala antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden China, TYT Xi Jinping pada Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa (BRFIC) kedua di Pusat Persidangan Kebangsaan China, Beijing, April lalu.
Puan Yang Terutama menambah bahawa Presiden Xi Jinping telah meluahkan kesudian China untuk menyelaraskan lagi Inisiatif Jalur dan Laluannya (BRI) dengan Wawasan Brunei 2035, strategi bagi pempelbagaian ekonomi dan mengutamakan pelaksanaan projek-projek kerjasama utama dan membangunkan lagi Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi.

BRFIC ke-2 adalah kali kedua Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Presiden Xi Jinping bertemu dalam tempoh enam bulan. Sebelum itu, Presiden China telah mengadakan lawatan rasmi ke Brunei Darussalam pada November tahun lalu.
Menyentuh mengenai peningkatan kerjasama dua hala yang berterusan antara kedua-dua buah negara Puan Yang Terutama berkata, “Kita telah menyaksikan peningkatan berterusan dalam perdagangan dan pelaburan. Apabila hubungan diplomatik ditubuhkan pada 1991, jumlah perdagangan antara kedua-dua buah negara berjumlah AS$13,110,00 dan tahun lalu jumlahnya pada AS$1,840,000,000 yang meningkat sebanyak 138 kali ganda dalam tempoh 28 tahun.”
Ini, tambah beliau, adalah peningkatan yang agak besar terutamanya dalam jumlah perdagangan.
“China juga cuba mengembangkan import dari Brunei Darussalam. Kedua-dua buah negara membincangkan mengenai pemudahan bagi lebih banyak produk Brunei diimport ke China yang termasuk makanan laut, sayuran dan buah-buahan.
“Kami mengalu-alukan produk Brunei yang berkualiti dieksport ke China. Kami juga mengalu-alukan perusahaan Brunei menyertai Ekspo ASEAN China dan ekspo import dan eksport antarabangsa China di Shanghai untuk mendedahkan produk-produk Brunei ke pasaran China,” ujar beliau.
Puan Yang Terutama juga menyentuh mengenai kemasukan syarikat-syarikat China ke Brunei bagi peluang-peluang, seperti syarikat gergasi teknologi Huawei.
“Pada masa ini terdapat beberapa perusahaan saintifik di Brunei yang menghubungi syarikat-syarikat mobile pay di China untuk menjemput Alipay atau Wechat Pay untuk meneroka peluang pembayaran elektronik di Brunei bagi memudahkan lagi penggunaan pelancongan di Brunei,” ujar beliau.
Dengan pelbagai pencapaian dan kemajuan serta hubungan diplomatik yang sedia ada, terdapat lebih banyak potensi kerjasama yang boleh diteroka antara China dan Brunei.