Kejohanan renang labuh tirai

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Terbuka Brunei dan Masters ke-8 yang berlangsung di Kolam Renang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Berangkat menyertai kejohanan tersebut ialah anakanda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah. Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim yang mewakili Kelab Renang Peak Performance, bersaing dalam Acara Gaya Bebas 100 Meter Lelaki 6 tahun ke atas dan berjaya memperbaiki rekod catatan masa peribadi 1:22.22 saat.

Sementara itu, dalam pertandingan yang berlangsung petang tadi, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim juga bersaing dalam Acara Kuak Lentang 50 Meter Lelaki 6 tahun ke atas, dengan memperbaharui rekod catatan masa peribadi iaitu 43.81 saat.

Manakala, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah yang juga mewakili Kelab Renang Peak Performance, pada petang tadi menyertai Kategori Perempuan 6 tahun ke atas dalam Acara Kuak Lentang 50 Meter dan berjaya memperbaharui rekod catatan masa peribadi setelah berjaya mencatatkan masa 52.26 saat di kejohanan berkenaan.

Kejohanan tahunan anjuran Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA) dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu menutup tirainya pada hari ini selepas berlangsung selama tiga hari.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah hari ini berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Terbuka Brunei dan Masters ke-8 di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Turut berangkat ialah anakanda-anakanda, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah yang turut menyertai kejohanan serta YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah. – Gambar oleh Infofoto.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim ketika bersaing dalam Acara Gaya Bebas 100 Meter.
YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah ketika bersaing dalam Acara Kuak Lentang 50 Meter.