Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Seramai 204 orang kanak-kanak dari Kelas Taman Asuhan 3, Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB), pagi tadi, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar.
Lawatan itu juga disertai sama oleh ibu bapa dan penjaga kanak-kanak serta guru-guru kelas berkenaan.
Terdahulu, acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan dan diteruskan lagi dengan aktiviti ‘nature walk’ yang mana para pelajar dibawa menyaksikan ke seluruh kawasan taman tersebut bersama ibu bapa dan penjaga mereka.
Acara itu bertujuan untuk mendedahkan kepada kanak-kanak dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan binatang yang terdapat di taman itu di samping memberikan pengalaman belajar yang lebih menyeronokkan dengan penglibatan ibu bapa dan menanamkan nilai estetik terhadap alam semula jadi.