204 warga Kem. Kewangan dan Ekonomi terima pingat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Seramai 204 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Jabatan-jabatan di dalamnya menerima Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Penyempurnaan Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya di Dewan Bankuet, Bridex, Jerudong, hari ini.

Hadir menyempurnakan penyampaian pingat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, timbalan-timbalan menteri kewangan dan ekonomi, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi termasuk pegawai dan kakitangan dari Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).

Seramai 101 orang menerima Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) dan 103 orang menerima Pingat Kerja Lama (PKL) terdiri daripada kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya dan kakitangan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan BDCB.

Pengurniaan PIKB dan PKL adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan dari kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas jasa dan sumbangan bakti yang telah diberikan sepanjang mereka berkhidmat.

Ia juga sebagai motivasi dan penyuntik semangat kepada warga kementerian dan jabatan untuk meningkatkan lagi mutu dan kualiti kerja serta terus berbakti dengan lebih cemerlang.

ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyempurnakan penyampaian Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada para penerima pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bridex, kelmarin.